Langgar koperal polis hingga patah tangan, mekanik dipenjara lima tahun

16 Oct 2026 • 5:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Langgar koperal polis hingga patah tangan, mekanik dipenjara lima tahun
Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Noor Ruzilawati selepas tertuduh mengaku bersalah.

PETALING JAYA - Seorang mekanik dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis dengan melanggarnya dalam kejadian berhampiran Damansara Damai, minggu lepas.

Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu selepas Tan Teek Lai, 33, mengaku bersalah dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap 10 Oktober.

Tertuduh yang memandu kereta Proton Wira didakwa cuba membunuh Koperal Muhamad Firdaus Maulud dengan melanggar mangsa sehingga menyebabkannya patah tangan kiri di Jalan Sungai Buloh-Kepong, Damansara di sini pada 6.21 petang 9 Oktober lalu. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang melakukan rondaan mengesan kereta dipandu Teek Lai dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkannya berhenti, namun dia enggan bekerjasama dan melarikan diri sehingga merempuh beberapa kenderaan orang awam.

Muhamad Firdaus cuba menarik keluar Teek Lai yang dilihat memegang sepucuk pistol dari kenderaan, namun tindakan lelaki itu memecut semula kereta secara mengejut menyebabkan tangan kiri mangsa patah.

Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memohon hukuman berat dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya menjadi pengajaran kepada Teek Lai dan orang awam untuk tidak melakukan kesalahan sama.

"Kejadian ini bukan sahaja melibatkan anggota polis malah orang awam yang mengalami kerosakan kenderaan. Selain itu, perbuatan tertuduh adalah berbahaya kepada orang awam,” katanya.

Teek Lai yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menjaga ibu bapa yang sudah uzur selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama dan memohon maaf kepada kesemua anggota polis terlibat. - Bernama 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved