
PETALING JAYA – Seorang mekanik dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini sebagai balasan cuba membunuh anggota polis berpangkat koperal dalam insiden kejar-mengejar di Damansara, minggu lalu.
Hakim Noor Ruzilawati Mohd. Nor menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Tan Teek Lai, 33, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan ke atasnya dalam Bahasa Mandarin.
Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan bermula dari tarikh tangkapan pada 10 Oktober lalu.
Mengikut pertuduhan, Teek Lai yang memandu kereta Proton Wira melanggar Koperal Muhamad Firdaus Maulud menyebabkan mangsa patah tangan kiri di Jalan Sungai Buloh-Kepong pada pukul 6.21 petang, 9 Oktober lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) mengesan Proton Wira yang dipandu tertuduh dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkan lelaki itu berhenti.
Bagaimanapun, Teek Lai memecut laju dengan memandu secara secara berbahaya dan melawan arus sebelum tiba di sebatang jalan mati di Kampung Baru Sungai Buloh. Dalam cubaan melarikan diri, tertuduh merempuh MPV tersebut.
Muhamad Firdaus cuba menarik keluar tertuduh yang dilihat memiliki sepucuk pistol, namun lelaki itu memecut semula keretanya menyebabkan anggota polis mengalami kecederaan patah tangan kiri.
Tertuduh yang melarikan diri ke arah Jalan RRI merempuh beberapa buah kenderaan orang awam sehingga menyebabkan ada yang terbalik.
Ekoran kejadian itu, Muhamad Firdaus terpaksa melepaskan tembakan ke arah Proton Wira sebelum menahan Teek Lai.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan mencadangkan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada orang awam serta tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama.
“Kejadian ini bukan sahaja melibatkan anggota polis, malah orang awam termasuk kereta. Seterusnya dengan mengambil kira kerosakan kereta orang awam dan tindakan tertuduh merupakan suatu tindakan yang berbahaya kepada orang awam,” katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar dikenakan hukuman ringan atas alasan perlu menjaga kedua ibu bapa yang sudah tua dan uzur.
Teek Lai turut memohon maaf kepada anggota polis yang terlibat pada masa kejadian selain mengatakan telah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi.
“Saya minta maaf, puan,” katanya.
Pada 9 Oktober lalu, tular beberapa video menunjukkan insiden kejar mengejar antara polis dan sebuah kereta Proton Wira di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Damansara Damai.
Dalam kejadian itu, suspek telah melanggar beberapa kenderaan awam sebelum meninggalkan keretanya dan cuba melarikan diri.
Bagaimanapun, keadaan itu berakhir apabila dia berjaya diberkas selepas mengalami kecederaan akibat terkena tembakan yang dilepaskan anggota polis ketika kejadian. – KOSMO! ONLINE
The post Mekanik minta maaf cuba bunuh Koperal Firdaus appeared first on Kosmo Online.






