Langgar Penunggang Motosikal, Pemandu Warga Emas Beri Alasan Lampu Isyarat Masih Kuning

Entertainment
13 Jun 2023 • 11:47 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Tular di media sosial sebuah rakaman dashcam yang menunjukkan sebuah kereta melanggar penunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah berhampiran Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh.

Kemalangan terbabit telah menyebabkan penunggang motosikal terbaring di atas jalan dipercayai tidak sedarkan diri sekitar jam 8.16 pagi semalam berdasarkan maklumat data melalui dashcam tersebut.

Dalam video berdurasi 29 saat, jelas kelihatan Perodua Viva terbabit memandu dengan laju dan telah melanggar lampu isyarat sebelum merempuh penunggang motosikal berkenaan.

Manakala, kesemua kenderaan yang berada di laluan hala sama dengan Perodua Viva itu sudah berhenti di persimpangan terbabit.

Beri alasan lampu isyarat masih kuning

Menurut laporan polis, pemandu yang juga seorang wanita berusia 73 tahun itu memberi alasan takut dilanggar dari belakang jika berhenti menyebabkan dia ‘memecut’ ketika lampu isyarat masih kuning sehingga menyebabkan kenderaannya bergesel dengan sebuah motosikal, lapor Harian Metro.

“Ketika kejadian kereta itu datang dari arah Kampung Simee dan semasa melalui lampu isyarat telah bergesel dengan motosikal dari arah bertentangan yang mahu membelok ke kanan.

“Akibat kemalangan itu penunggang motosikal berkenaan patah tangan, luka di dagu serta ibu jari kiri manakala pemandu Perodua Viva mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan.

Polis telah membuka kertas siasatan kes itu di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mereka yang menyaksikan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.