Langit saksi perjuangan Raja Shazreen, bakat muda tempatan kini ada tempat berbakti

LocalBusiness & Finance
18 Sep 2026 • 9:50 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Langit saksi perjuangan Raja Shazreen, bakat muda tempatan kini ada tempat berbakti

DI sebalik deruman enjin pesawat yang membelah awan, tersimpan sebuah kisah yang tidak pernah ditulis pada badan pesawat itu sendiri. Kisah tentang air mata, pengorbanan, keberanian dan keyakinan seorang usahawan yang memilih untuk terbang ketika ramai meragui kemampuannya.

Bagi sesetengah orang, kapal terbang hanyalah sebuah ‘mesin’ yang membawa manusia dari satu destinasi ke destinasi lain. Namun bagi Aeronas Aerocraft Sdn. Bhd., setiap pesawat yang dihasilkan membawa bersama impian, maruah dan cita-cita sebuah negara.

Di sebalik kejayaan memperoleh tempahan-tempahan antarabangsa, perjalanan syarikat yang kini mengeluarkan pesawat ringan itu bukanlah sebuah kisah yang dipenuhi jalan lurus. Ia bermula dengan kepercayaan bahawa Malaysia juga mampu menghasilkan pesawat sendiri.

Di tengah-tengah perjuangan itu berdiri seorang figura yang percaya bahawa kejayaan bukan ditentukan oleh latar belakang akademik semata-mata, tetapi keberanian untuk belajar sesuatu yang asing.
Pengarah Urusan merangkap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Aeronas Aerocraft, Raja Shazreen Petra Raja Azman Shah Petra mengakui dirinya bukan berasal daripada bidang kejuruteraan aeroangkasa.

Sebaliknya, anak jati Johor Bahru itu dibesarkan dalam dunia perniagaan yang diasaskan bapanya melalui perkhidmatan sewaan dan pajakan pesawat. Dari situlah minat terhadap industri penerbangan mula bercambah sedikit demi sedikit.

“Saya sebenarnya orang bisnes. Latar belakang saya bukan jurutera. Tetapi saya dihantar ke Amerika Syarikat untuk belajar asas teknikal supaya saya memahami bagaimana sebuah pesawat dibangunkan.

“Saya mengikuti pengajian dalam bidang perniagaan di Mississippi State University, Amerika Syarikat sekitar tahun 2012 sebelum kembali ke tanah air beberapa tahun kemudian dengan membawa perspektif baharu mengenai industri aeroangkasa.

“Pengalaman ketika berada di Amerika Syarikat membuka mata saya bahawa kejayaan sesuatu industri tidak semestinya digerakkan oleh individu yang mempunyai latar belakang teknikal sepenuhnya.

“Bila orang kata kena ada latar belakang industri untuk berjaya, saya kurang bersetuju. Kalau ada kesungguhan untuk belajar, semua itu boleh dipelajari,” ujarnya kepada K-Wanita baru-baru ini.

Image from: Langit saksi perjuangan Raja Shazreen, bakat muda tempatan kini ada tempat berbakti
RAJA SHAZREEN PETRA memimpin usaha membina pesawat buatan tempatan pertama Malaysia. – Foto RAJA JAAFAR ALI

Prinsip itulah yang menjadi pegangan ketika membangunkan prototaip awal pesawat bersama beberapa rakan daripada pelbagai kaum.

Mereka hanya mempunyai pengetahuan asas, peralatan yang terhad dan bahan yang jauh daripada sempurna. Namun kekurangan itu tidak pernah dijadikan alasan untuk berhenti mencuba.

“Kami bina mock-up pesawat tanpa peralatan lengkap. Saya hanya membimbing berdasarkan ilmu asas yang saya pelajari. Kalau dengan kekurangan pun kami boleh hasilkan sesuatu, bayangkan jika industri ini mendapat sokongan lebih besar,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan Malaysia melakar satu lagi pencapaian bersejarah dalam industri aeroangkasa apabila kini memiliki pesawat buatan tempatan yang dibangunkan, direka bentuk dan dihasilkan sepenuhnya oleh syarikat Bumiputera, Aeronas Aerocraft Sdn. Bhd. (Aeronas).

Aeronas merupakan syarikat yang menceburi pembuatan pesawat ringan dengan kepakaran tempatan. Raja Shazreen memimpin usaha membina pesawat buatan tempatan pertama di Malaysia itu.
Aeronas bahkan dilaporkan baru-baru ini telah berjaya meraih tempahan 50 pesawat ringan daripada Konsortium Wholechoice berpangkalan di Hong Kong. Sebanyak 30 pesawat model MYPX5 MARK I dan MARK II telah disahkan pembeliannya, manakala baki 20 lagi dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Bagi Raja Shazreen Petra, nilai sebenar kejayaan itu bukan sekadar angka besar yang tertera pada kontrak.

Sebaliknya, ia menjadi bukti bahawa hasil tangan anak Malaysia kini mula mendapat tempat dalam industri yang selama ini didominasi negara-negara maju.

Lebih membanggakan apabila hampir 78 peratus komponen pesawat tersebut dihasilkan di Malaysia dan syarikat menyasarkan pengeluaran tempatan sepenuhnya dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Lebih 450 tenaga mahir tempatan kini menggerakkan operasi syarikat merangkumi bidang kejuruteraan elektrik, avionik, struktur dan komponen pesawat.

Jumlah itu dijangka berkembang kepada ribuan peluang pekerjaan apabila kapasiti pengeluaran ditingkatkan menerusi pembinaan kemudahan baharu.

Bagi Raja Shazreen Petra, kejayaan sebenar bukan apabila sebuah pesawat berjaya diterbangkan, tetapi apabila lebih ramai rakyat Malaysia mampu membina kerjaya dalam industri bernilai tinggi.

Beliau percaya Johor mempunyai semua kelebihan untuk muncul sebagai hab aeroangkasa negara hasil kedudukan strategik, ekosistem industri dan sokongan pelbagai agensi termasuk Invest Johor serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Baginya, setiap cabaran yang ditempuhi sepanjang membangunkan syarikat hanyalah sebahagian daripada harga sebuah impian.

Image from: Langit saksi perjuangan Raja Shazreen, bakat muda tempatan kini ada tempat berbakti
RAJA SHAZREEN PETRA juga percaya Johor mempunyai semua kelebihan untuk muncul sebagai hab aeroangkasa negara,

Ada ketika usaha mereka dipandang sinis. Ada yang meragui kemampuan syarikat tempatan menghasilkan pesawat sendiri. Tidak kurang juga yang menganggap cita-cita itu terlalu besar.

Namun segala keraguan itu akhirnya dijawab melalui kerja keras, kesabaran dan keberanian mengambil risiko. Wanita itu mengakui banyak perkara terpaksa dipelajari daripada kosong, malah setiap keputusan perniagaan perlu dibuat dengan penuh teliti kerana industri aeroangkasa tidak memberi ruang kepada kesilapan.

Dalam setiap kejayaan yang dicapai hari ini, beliau tetap mengangkat bapanya sebagai insan paling banyak membentuk perjalanan hidupnya.

“Saya sangat bertuah kerana mempunyai seorang mentor dalam keluarga sendiri. Ayah bukan sekadar mengajar saya berniaga, tetapi mengajar bagaimana membina kepercayaan, disiplin dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.

Sementara itu, di kemudahan pembuatan di Senai dan Iskandar Puteri itu, ratusan anak muda tempatan kini membina masa depan mereka dalam bidang yang sebelum ini dianggap mustahil untuk diceburi hasil lorongan wanita hebat itu.

Graduan Aircraft Engineering dari Moscow Aviation Institute, Rusia, Nur Izzati Sobri berkata, peluang menyertai Aeronas membuka ruang untuk dirinya mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di luar negara demi membangunkan industri aeroangkasa tempatan.

“Saya tidak pernah menyangka dapat kembali berbakti di Malaysia dalam syarikat yang membangunkan pesawat sendiri. Aeronas memberi peluang kepada kami untuk membina kerjaya bertaraf dunia tanpa perlu berhijrah ke luar negara. Saya mahu menjadi sebahagian daripada sejarah pembangunan industri aeroangkasa negara,” katanya.

Sementara itu, Nurien Zahirah Muhammad Zafran, graduan Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menyifatkan Aeronas sebagai platform terbaik untuk golongan muda mengembangkan potensi dalam bidang berteknologi tinggi.

“Sebagai jurutera muda, saya melihat Aeronas bukan sekadar tempat bekerja, tetapi tempat untuk belajar, berkembang dan mencabar kemampuan diri.

“Saya yakin syarikat ini mampu melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan yang akan mengangkat nama Malaysia dalam industri aeroangkasa global,” ujarnya.

Bagi Mohtar Immansyah Mutahar, graduan Kejuruteraan Aeroangkasa dari Universiti Sains Malaysia (USM), peluang berkhidmat di Aeronas membuktikan Malaysia kini mempunyai ekosistem yang mampu menawarkan masa depan cerah kepada bakat tempatan.

“Ramai graduan sebelum ini terpaksa mencari peluang di luar negara kerana industri ini masih kecil. Namun, Aeronas memberi harapan baharu kepada kami untuk membina kerjaya dalam bidang aeroangkasa di tanah air. Saya bangga dapat menyumbang kepakaran bagi menghasilkan pesawat buatan Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

 

The post Langit saksi perjuangan Raja Shazreen, bakat muda tempatan kini ada tempat berbakti appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved