Langkah Mah Sing bangunkan projek M Zenya di Kepong melalui usaha sama tepat pada masa dan strategik – AmInvest Research

Business & FinanceProperty
7 Jul 2023 • 12:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Langkah Mah Sing bangunkan projek M Zenya di Kepong melalui usaha sama tepat pada masa dan strategik – AmInvest Research

diyana

07/07/2023 - 12:49

KUALA LUMPUR 7 Julai - Cadangan usaha sama Mah Sing Group Berhad dan pemilik tanah, Liberty Triangle Sdn Bhd untuk projek pembangunan kediaman bercampur iaitu M Zenya di Kepong tepat pada masanya dan strategik, kata AmInvest Research.

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa langkah tersebut memberi peluang kepada Mah Sing untuk mengukuhkan kehadirannya di Kepong dan memanfaatkan permintaan limpahan yang dijana oleh projek sedia ada kumpulan itu.

“Oleh itu, kami positif perjanjian usaha sama akan membantu mengekalkan pendapatan pembangunan hartanah Mah Sing dalam jangka sederhana.

“Memandangkan M Zenya merupakan salah satu plot tanah pembangunan terakhir yang tinggal di sekitar Tasik Metropolitan Kepong, kami menjangkakan permintaan kukuh untuk projek itu, seperti yang dilihat daripada minat yang kuat dalam projek-projek di sekitarnya seperti Mizumi Residences (dijual sepenuhnya) dan Residensi Ava (98% terjual), menekankan tahap keghairahan pembeli yang tinggi di kawasan tersebut,” tambahnya dalam nota penyelidikan hari ini.

M Zenya, yang mempunyai jumlah anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM500 juta, menandakan projek keempat kumpulan itu di kawasan Kepong, di mana projek Lakeville Residence dilancarkan pada 2014 dan M Luna pada 2020, kedua-duanya telah habis dijual sepenuhnya.

Sementara itu, projek ketiganya di Kepong, M Nova telah mendapat sambutan yang menggalakkan, dengan lebih 9,000 pendaftaran minat diterima untuk 1,248 unit yang tersedia dalam fasa pertama.

“Kami mengekalkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2023 (FY23), manakala keuntungan bersih teras FY24F dan FY25 ditingkatkan sebanyak 1% dan 3% untuk mengambil kira sumbangan pendapatan daripada projek M Zenya,” katanya.

Di samping itu, AmInvest Research menganggarkan sumbangan FY24 boleh diabaikan manakala pendapatan Mah Sing pada FY27 akan beransur-ansur meningkat kepada 4%.

Selepas selesai pembayaran untuk hak pemilik tanah, firma itu menjangkakan nisbah penggearan bersih kumpulan pada FY24 meningkat sedikit kepada 0.33 kali daripada 0.32 kali.

AmInvest Research mengekalkan saranan ‘beli’ nilai saksama (FV) dinaikkan kepada 90sen sesaham selepas mengambil kira sumbangan daripada M Zenya ke dalam pengiraan aset bersih dinilai semula (RNAV).

Saham Mah Sing pada waktu rehat adalah 62.5 sen, naik 1 sen atau 1.6% dengan modal pasaran RM1.5 bilion.- DagangNews.com