Projek M Nova raih sambutan menggalakkan, dijangka sokong sasaran jualan Mah Sing bagi FY23 – MIDF Research

Business & FinanceProperty
28 Jun 2023 • 12:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek M Nova raih sambutan menggalakkan, dijangka sokong sasaran jualan Mah Sing bagi FY23 – MIDF Research

diyana

28/06/2023 - 12:25

​​​​​​KUALA LUMPUR 28 Jun - Jualan apartmen servis M Nova yang kukuh dijangka menyokong sasaran jualan baharu Mah Sing Group Berhad sebanyak RM2.2 bilion untuk tahun kewangan 2023 (FY23), kata MIDF Research.

Menurut firma penyelidikan itu, M Nova mendapat sambutan menggalakkan dengan 9,000 pendaftaran minat apabila Mah Sing membuka pendaftaran untuk satu blok dengan 624 unit, justeru ia berpendapat bahawa kumpulan itu boleh menukar tempahan kepada jualan dengan pantas.

M Nova merupakan projek ketiga kumpulan itu di Kepong yang terletak di Taman Wahyu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM790 juta dengan harga jualan berpatutan bermula dari RM318,000 dengan keluasan 700 kaki persegi.

Apartmen servis itu terdiri daripada tiga blok dengan sejumlah 1,248 unit dengan binaan daripada 700 kaki persegi hingga 1,000 kaki persegi dan mempunyai 11 unit lot kedai runcit dan satu runcit pandu lalu.

image is not available
Gambaran apartmen servis M Nova di Taman Wahyu, Kepong

“Selepas lawatan ke galeri jualan M Nova, kami tidak membuat sebarang perubahan pada ramalan pendapatan kami untuk FY23, FY24 dan FY25 kerana sumbangan jualan baharu daripada M Nova dijangka menyokong sasaran jualan baharu pengurusan sebanyak RM2.2 bilion untuk FY23 (berbanding sasaran sebanyak RM2 bilion pada FY22),” kata MIDF Research dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma itu juga mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) pada 78 sen sesaham, berdasarkan diskaun 65% kepada aset bersih dinilai semula (RNAV).

“Saranan dikekalkan berikutan prospek jualan baharu Mah Sing adalah kukuh, disokong oleh pelancaran rumah mampu milik M-Series, di samping kumpulan itu aktif membeli tanah yang akan terus menyokong prospek jualan hartanah baharu dan keterlihatan pendapatan dalam jangka masa terdekat,” jelasnya.

Mengulas lanjut berkenaan aktiviti pengambilalihan tanah kumpulan itu, firma itu berkata kunci kira-kira Mah Sing dijangka kekal sihat di bawah 0.3 kali walaupun terdapat beberapa pengambilalihan tanah baru-baru ini kerana aliran tunai daripada pelaksanaan projek yang sedang berjalan dijangka kukuh.

“Secara ringkasnya, kami menjangkakan pengambilalihan aktif Mah Sing akan menyokong prospek jualan dan pendapatan hartanah baharu,” tambahnya.

Setakat pukul 12:20 tengahari ini, saham Mah Sing didagangkan pada 61.5 sen, susut 0.5 sen atau 0.8% dengan nilai pasaran sebanyak RM1.49 bilion. - DagangNews.com