Langkah MITI dalam proses rundingan isu cip AI diharap penuhi hasrat AS - MIDF Research

15/07/2025 - 10:02
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 15 Julai — Langkah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam proses rundingan mengenai isu cip kecerdasan buatan (AI) diharap memenuhi hasrat Amerika Syarikat (AS).
MIDF Research berkata, usaha MITI itu dijangka dapat mematuhi kehendak AS apabila merundingkan berhubung isu sekatan eksport cip AI di bawah Peraturan Penyebaran AI Trump yang diubah suai.
Firma penyelidikan tersebut berkata, tindakan MITI turut membuktikan keseriusan Malaysia sendiri dalam menangani pihak tertentu yang cuba melanggar langkah kawalan dikenakan oleh kerajaan AS.
"Kami telah menyebut sebelum ini bahawa rundingan tersebut akan berlegar mengenai pelbagai peraturan dan penguatkuasaan serta pemantauan pengguna peringkat akhir," katanya dalam satu nota kajiannya.
Semalam, MITI mengumumkan semua eksport, penghantaran semula dan transit cip AI berprestasi tinggi dari AS kini tertakluk kepada Permit Perdagangan Strategik (STP), yang berkuat kuasa serta-merta.
Ia tertakluk Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010) yang memerlukan pemberitahuan kepada pihak berkuasa dalam tempoh 30 hari jika terdapat syak barangan itu boleh disalah guna.
Inisiatif itu bertujuan menutup jurang peraturan sementara Malaysia menjalankan kajian lanjut mengenai kemasukan cip AI berprestasi tinggi AS ke dalam Senarai Barangan Strategik (SIL).
Artikel berkaitan: MITI: Eksport cip AI berprestasi tinggi dari AS kini tertakluk kepada Permit Perdagangan Strategik
Mengulas lanjut, MIDF Research berkata, antara spekulasi isu itu termasuk menggantikan sistem negara tiga peringkat kepada pelesenan ketat yang lebih berdasarkan perjanjian kerajaan ke kerajaan (G2G).
"Ini bermaksud syarikat yang beribu pejabat di AS dan sekutu rapat mungkin tidak lagi terikat dengan sekatan dan membolehkan lebih banyak kapasiti AI dirancang di negara lain seperti Malaysia," katanya.
Tambahan pula kata firma itu, ia sentiasa mengulangi perkara bahawa walaupun kebanyakan pusat data baharu memang sedia dilengkapi AI, namun ada yang mungkin akhirnya digunakan bukan bertujuan AI.
Berdasarkan perkembangan tersebut, MIDF Research mengekalkan penarafan 'positif' ke atas sektor pembinaan dan utiliti yang memang banyak terlibat dalam pembangunan pusat data di seluruh negara.
Ia menjangkakan potensi syarikat seperti Gamuda dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM5.42 selain IJM Corporation (beli, TP: RM3.74) dan Sunway Construction (beli, TP: RM6.44).
"Kesemua syarikat ini diramal terus mendapat manfaat daripada pelbagai projek pusat data yang kukuh di samping kami juga menyukai YTL Power International (beli, TP: RM4.51). - DagangNews.com
standard


