
PETALING JAYA – Selepas hampir lima tahun berehat daripada pasaran, Neelofa dan kakaknya Noor Nabila kembali mengembangkan perniagaan minuman susu pisang jenama Nilofa dengan melantik 50 rakan niaga.
Menurut Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 37, pemilihan rakan niaga itu berdasarkan modal, pengalaman, rangkaian pasukan, komitmen serta etika perniagaan.
Katanya, pendekatan kali ini lebih menekankan kualiti berbanding kuantiti berbanding model ejen dan stokis yang digunakan ketika produk berkenaan diperkenalkan pada 2019.
“Untuk kali ini, kita mementingkan kualiti berbanding kuantiti. Kita mahu bekerja dengan rakan niaga yang boleh berkembang bersama syarikat, mempunyai mentaliti yang betul dan etika perniagaan.
“Sekarang sudah ada 35 rakan niaga di bawah ibu pejabat dan hanya beberapa lagi yang kosong,” katanya pada majlis pelancaran susu pisang Nilofa baru-baru ini.
Menurutnya, model perniagaan kali ini juga berbeza apabila pihak ibu pejabat tidak menjual terus kepada pengguna, sebaliknya produk akan diedarkan menerusi rakan niaga yang dilantik.
“Di bawah rakan niaga ini sebenarnya ada ramai stokis, tetapi yang berdaftar secara langsung dengan kita hanya 50 orang.
“Jadi mereka perlu mengambil peluang ini untuk membina pasaran dan pendapatan sendiri, manakala kita memberi tumpuan kepada sokongan kepada rakan niaga,” katanya.
Dalam pada itu, Neelofa menyasarkan penjualan sekurang-kurangnya empat juta unit produk baharu itu menjelang akhir tahun ini.
Katanya, sasaran berkenaan dibuat berdasarkan potensi pasaran yang dilihat setakat tempoh awal produk berkenaan kembali berada di pasaran.
Mengulas perancangan pasaran luar negara, Neelofa berkata, syarikat kini dalam proses menyediakan dokumentasi, prosedur dan memenuhi keperluan berkaitan bagi membolehkan produknya menembusi pasaran antarabangsa.
Katanya, selepas Singapura dan Brunei, Indonesia menjadi antara pasaran yang diberi perhatian apabila pihaknya dijadual menyertai satu pameran di Bali bersama SME Corp pada awal September ini.
“Kita akan ke Bali untuk mempamerkan produk dan mendapatkan pembeli di Indonesia. Itu antara langkah awal kita untuk masuk ke pasaran tersebut,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Lantik 50 rakan niaga, Nilofa sasar pasaran Indonesia appeared first on Kosmo Digital.




