Noor Nabila bakal tamat zaman ‘solo’ hujung tahun

16 Aug 2026 • 3:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Noor Nabila bakal tamat zaman ‘solo’ hujung tahun

PETALING JAYA: Selepas sekian lama memilih untuk tidak berkongsi kisah peribadi, personaliti media sosial dan usahawan, Noor Nabila, 41, akhirnya membuka bicara mengenai perancangan perkahwinannya bersama jejaka pilihan hati, Ameer Aiman, yang dijangka berlangsung penghujung tahun ini.

Kakak kepada selebriti dan usahawan, Noor Neelofa, itu berkata, segala perancangan ke arah mendirikan rumah tangga sudah dibuat dan kini mereka sedang giat melakukan persiapan.

“Doakan saya, kami akan ke fasa seterusnya dalam masa yang terdekat. Kita sudah ada rancangan, dalam tahun ini. Insya-Allah, semuanya dalam perancangan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran susu pisang Nilofa di Flint, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai persiapan perkahwinan, Nabila berkata, beberapa perkara penting termasuk dokumen berkaitan sudah diselesaikan, manakala persiapan untuk majlis masih sedang dilakukan.

“Kami tengah membuat persiapan. Apa yang penting-penting, dokumen-dokumen itu dah dibuat. Cumanya itulah majlis itu nanti dalam persiapan, insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Nabila berkata, anaknya, Jebat Jayden, turut menerima Ameer dengan baik, malah hubungan semula jadi yang terjalin antara mereka menjadi antara faktor yang membuatkannya yakin dengan pilihan berkenaan.

“Jayden okey. Dia ada hubungan yang baik dengan Ameer. Hubungan mereka boleh nampak jadi secara natural, Alhamdulillah,” katanya.

Bercerita mengenai keistimewaan Ameer yang membuatkan hatinya terbuka untuk menerima lelaki berkenaan, Nabila berkata, dia tertarik dengan keikhlasan dan sikap telus yang ditunjukkan sejak awal perkenalan.

“Dia seorang yang sangat ikhlas. Apa yang keluar dari mulut dia, bila saya tanya sesuatu, dia orang matang. Seseorang yang bukan naif, tapi dia ‘transparent’. Saya rasa macam susah juga nak jumpa orang yang macam ini sekarang.

“Nombor dua, dia tak tahu sangat pasal saya. Pada mula perjumpaan kita, banyak yang dia tak tahu. Jadi saya rasa macam, ‘Oh, saya lebih suka orang yang kurang info pasal saya atau keluarga saya.’

“Saya rasa lebih selesa macam itu, maksudnya ikhlaslah kalau suka dengan kita. Nombor tiga, sudah tentu, dia dengan Jayden. Bila saya nampak dia boleh melayan Jayden, itu menarik,” katanya.

Mengimbas detik awal perkenalan mereka, Nabila berkata, dia dan Ameer mula mengenali satu sama lain sejak tahun lalu selepas bertemu di gimnasium.

“Kemudian saya dapat kenal dia, dia ajak keluar. Dari situlah,” katanya.

Untuk rekod, Nabila mendirikan rumah tangga kali pertama pada Julai 2013, namun perkahwinan tersebut berakhir setahun kemudian.

Dia kemudian berkahwin dengan pelakon Sharnaaz Ahmad pada Mac 2017 sebelum disahkan bercerai pada Julai 2020.

Nabila seterusnya bernikah dengan Engkủ Emran Engku Zainal Abidin pada Mac 2021, namun perkahwinan itu juga tidak bertahan lama dan berakhir pada tahun berikutnya.

 

The post Noor Nabila bakal tamat zaman ‘solo’ hujung tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved