Lantik Nurul Izzah bertentangan janji Anwar dalam PRU15

Politics
30 Jan 2023 • 6:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Zai (gambar kecil) berkata, Anwar sewajarnya melantik individu dalam kalangan ahli ekonomi yang pakar mengenai hal ehwal ekonomi di Malaysia.

SHAH ALAM - Pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri bertentangan dengan prinsip dan janji Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, Anwar sewajarnya melantik individu dalam kalangan ahli ekonomi yang pakar mengenai hal ehwal ekonomi di Malaysia.

“UMMAH terkejut dan berasa janggal apabila mendapat tahu daripada media bahawa anak Perdana Menteri ke-10 sendiri telah dilantik sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan di Pejabat Menteri Kewangan dan Perdana Menteri pada 3 Januari 2023.

“Perjawatan ini difahamkan telah dicipta bagi membantu menasihati Perdana Menteri secara pro bono (tanpa gaji).

“Agak pelik kerana jika Perdana Menteri memerlukan nasihat kepakaran, sewajarnya beliau melantik seorang dalam kalangan ahli ekonomi yang pakar dalam hal ehwal ekonomi di negara ini.

“Prinsip pelantikan berdasarkan merit kepakaran dan tanpa nepotisme dalam kerajaan serta agensi yang dilaungkan sudah dilanggar dan diketepikan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan beliau telah dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Sementara itu, Mohd Zai menegaskan, dalam keadaan negara yang sedang bergelut dengan kesulitan dan kesuraman ekonomi dunia, penting bagi Perdana Menteri melantik seseorang yang benar-benar pakar bagi memberi nasihat dan hala tuju perancangan pembangunan ekonomi negara yang lebih teliti serta berdaya tahan.

“Ia bagi menyelamatkan negara dan rakyat secara keseluruhan. Ini memerlukan kepakaran dan pengalaman yang banyak serta meyakinkan semua pihak.

“Agak malang bagi rakyat Malaysia apabila Perdana Menteri ke-10 gagal melaksanakan dan mempertahankan prinsip-prinsip asas utama kerajaan yang dijanjikan semasa PRU.

“Iaitu seperti menolak rasuah, nepotisme, pelantikan berdasarkan merit kepakaran, menurunkan harga minyak dan barang asas makanan rakyat,” jelasnya.