Lapan cedera, wanita tersepit dalam nahas tiga kenderaan

28 Jun 2026 • 12:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lapan cedera, wanita tersepit dalam nahas tiga kenderaan
Kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk dua kereta dan sebuah lori. Foto Bomba
Image from: Lapan cedera, wanita tersepit dalam nahas tiga kenderaan
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak melaksanakan operasi mengeluarkan mangsa tersepit. Foto Bomba
Image from: Lapan cedera, wanita tersepit dalam nahas tiga kenderaan
Pemandu kereta Perodua Myvi yang tersepit berjaya dikeluarkan. Foto Bomba

SUNGAI PETANI - Lapan mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah lori di Kilometer 94 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini, dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi pada Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd Happyzam Abd Rasid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.56 pagi yang memaklumkan kejadian itu.

**media[3564929]**

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi pada jam 9.14 pagi, pihaknya mendapati seorang pemandu kereta, wanita berusia 56 tahun tersepit.

"Mangsa yang memandu Perodua Myvi berjaya dikeluarkan, namun dilaporkan mengalami kecederaan separa kritikal dengan kecederaan pada bahagian kepala, bahu dan kaki," katanya.

Menurutnya, tujuh lagi mangsa berusia antara 16 hingga 49 tahun, termasuk seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an, hanya mengalami kecederaan ringan.

"Kemalangan itu membabitkan sebuah Perodua Myvi yang dinaiki dua wanita. Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) menggunakan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

"Dua mangsa lelaki yang menaiki lori tujuh tan dihantar ke hospital menggunakan kenderaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala seorang lelaki dan tiga wanita yang menaiki Toyota Noah dibawa mendapatkan rawatan menggunakan kenderaan awam," katanya.

**media[3564931]**

Menurutnya, operasi dijalankan oleh lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah EMRS.

Beliau berkata, bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan di lokasi sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.05 pagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved