
Setakat ini, Hani masih belum menerima sebarang perkembangan terkini mengenai nasib suaminya yang dilaporkan hilang dalam tragedi banjir di Rasuwa, Nepal pada 26 Ogos lepas.
KUALA LUMPUR: Selepas lapan hari berada di Nepal bagi mengikuti perkembangan usaha mencari suaminya yang dilaporkan hilang, isteri kepada pegawai Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) hari ini menyertai misi mengagihkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana sambil berharap dapat menemukan sebarang petunjuk mengenai suaminya.
Hani Othman, kini dalam perjalanan dari Nuwakot menuju Betrawati bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) tempatan Samundra Nepal NGO dan Himalayan Leaders, berkata kawasan yang dituju bukan lokasi terakhir kenderaan suaminya dikesan, namun beliau tetap berharap perjalanan itu dapat menemukan sebarang petunjuk.
READ MORE: How a glacier collapse may have caused Nepal-Tibet disaster
READ MORE: Two hydropower workers pulled alive from Nepal tunnel after 10 days
“Kawasan titik terakhir suami saya lebih di atas. Susah nak masuk. Tapi Nuwakot juga tempat bencana cuma lokasi lebih di bawah.
“Saya akan agihkan bantuan kepada mangsa di sini. Tengoklah, mana tahu jumpa sebarang petunjuk,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Hani berkata sebahagian barangan bantuan itu dikumpulkan lebih awal di Kathmandu, manakala selebihnya disumbangkan oleh NGO tempatan.
Sementara itu, menerusi satu hantaran di media sosial, Hani berkongsi bahawa beliau sempat mengagihkan bantuan kepada mangsa bencana di sekitar Kathmandu semalam, termasuk mangsa yang baru diselamatkan di Timure, selain bertemu dengan isteri kepada pemandu kenderaan pasukan suaminya.
Beliau berkata sumbangan hasil keprihatinan rakyat Malaysia itu disalurkan bagi pihak suaminya, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa dan lapan lagi anggota pasukan ekspedisi termasuk Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Mohd Sani Harul.
“Sepanjang saya mengenali mereka, mereka semua orang baik-baik. Mereka juga dermawan dan suka membantu orang lain. Semoga Allah permudahkan segala urusan pencarian mereka dan melindungi mereka semua tak kira di mana mereka berada.
“Ketepikan dulu perbezaan agama dan perbezaan bangsa, kita doakan yang baik-baik untuk mereka semua,” menurutnya.
Setakat ini, Hani masih belum menerima sebarang perkembangan terkini mengenai nasib suaminya yang dilaporkan hilang dalam tragedi banjir di Rasuwa, Nepal pada 26 Ogos lepas.
Dua hari selepas kejadian itu, Hani berlepas ke Kathmandu atas inisiatif sendiri bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai usaha mencari dan menyelamat suaminya.
— LAGI
NEPAL-WARIS 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Mohd Fakhrul, 44, atau mesra disapa Loe, dilaporkan hilang selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki kumpulannya dalam ekspedisi pendakian ke Everest Base Camp (EBC) dipercayai terjejas akibat banjir ketika berada di sebuah lembah di Rasuwa.
Sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana yang berlaku pada 26 Ogos, manakala 77 lagi yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal sudah dibawa ke Kathmandu untuk menjalani proses sebelum pulang ke Malaysia.
Agensi Anadolu melaporkan angka korban akibat bencana itu meningkat kepada 1,220 orang, manakala 4,762 orang termasuk 844 warga asing masih hilang.






