Lapan laluan BAS.MY kini beroperasi sepenuhnya

15 Aug 2026 • 4:59 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Lapan laluan BAS.MY kini beroperasi sepenuhnya

Kota Kinabalu: Perkhidmatan bas henti-henti BAS.MY Kota Kinabalu beroperasi sepenuhnya melibatkan kesemua lapan laluan bermula 11 Ogos lepas, sekali gus meningkatkan ketersambungan pengangkutan awam bagi penduduk bandar raya ini dan kawasan sekitarnya.

Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dalam kenyataan  memaklumkan pengoperasian penuh itu menyusuli pelaksanaan fasa pertama secara berperingkat yang bermula 1 April lepas menerusi laluan S01 dan S05 sebelum disusuli enam laluan lain, iaitu S02, S03, S04, S06, S07 dan S08.

“Perkhidmatan BAS.MY mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai apabila 194,265 penumpang direkodkan menggunakan laluan S01 dan S05 setakat 10 Ogos lepas. Jumlah penumpang dijangka terus meningkat dengan pengoperasian sepenuhnya enam laluan baharu berkenaan.

“Selain itu, BAS.MY turut menawarkan kad konsesi secara percuma kepada pelajar, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas, dengan 960 orang telah mendaftar setakat ini,” menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan BAS.MY Kota Kinabalu merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) di bawah Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST).

LPKP memaklumkan inisiatif berkenaan melibatkan peruntukan RM17.6 juta setahun atau RM88 juta secara keseluruhan bagi tempoh lima tahun.

Sebanyak 48 bas baharu disediakan bagi menghubungkan pusat laluan utama di KK Sentral dan pekan Menggatal ke lapan laluan berkenaan.

Perkhidmatan BAS.MY Kota Kinabalu turut dilengkapi kemudahan dan ciri moden termasuk sistem pemantauan penentu kedudukan global (GPS) masa nyata bagi membolehkan pergerakan bas dipantau secara langsung, sekali gus membantu menjamin ketepatan masa.

“Ia turut menawarkan sistem pembayaran tanpa tunai dan e-tiket yang lebih selamat serta efisien. Dari segi keselamatan dan aksesibiliti, bas dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), selain reka bentuk yang selesa dan mesra OKU serta warga emas,” menurut kenyataan itu.

Lembaga itu menyatakan perkhidmatan berkenaan beroperasi setiap hari seawal 5.30 pagi hingga 11 malam dengan kekerapan antara 15 hingga 30 minit.

Berikut ialah lapan laluan tersebut: Laluan S01 meliputi 31.78km dari KK Sentral melalui Jalan Kemajuan, Jalan Tuaran, Jalan Pasir, Jalan Tun Fuad Stephens, PPNS, Jalan UMS, Jalan Lintas dan Jalan Kolam sebelum kembali ke KK Sentral.

Laluan S02 sepanjang 32.88 kilometer turut bermula dan berakhir di KK Sentral, melalui Jalan Kemajuan, Jalan Tuaran, Jalan Istana, Jalan Kolam, Jalan Lintas, Jalan Pasir, Jalan Tun Fuad Stephens, PPNS, Jalan UMS, Jalan KK Bypass dan Jalan Tunku Abdul Rahman.

Laluan S03 sepanjang 36.90km menghubungkan Pekan Menggatal dan KK Sentral melalui Jalan Tuaran, Lorong Kuburan Batu 2, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan KK Bypass, Jalan Tun Fuad Stephens, SICC, PPNS, Jalan UMS dan Jalan Sepanggar.

Laluan S04 meliputi 38.16km yang menghubungkan Pekan Menggatal, KK Sentral dan Terminal Bas Inanam melalui Jalan Tuaran, Jalan Sepanggar, Jalan UMS, PPNS, Jalan Tun Fuad Stephens, Jalan KK Bypass, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Kemajuan, Jalan Industrial Area, Jalan Undan dan kembali ke Pekan Menggatal.

Laluan S05 meliputi 17.84km dari KK Sentral melalui Jalan Coastal, Jalan Tun Razak, Jalan Haji Saman, Jalan Jesselton, Jalan Tun Fuad Stephens, SICC, Jalan Istiadat, Jalan Kompleks Sukan, Jalan Damai, Jalan Bersatu, Jalan Kolam, Jalan Lintas, Jalan Penampang dan Jalan Tunku Abdul Rahman sebelum kembali ke KK Sentral.

Laluan S06 meliputi 20.40km, bermula dan berakhir di KK Sentral melalui Jalan Kemajuan, Jalan Tuaran, Jalan Istana, Jalan Nenas, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Pintas, Jalan Berjasa, Jalan Rumah Sakit (HQE), Jalan Penampang, Jalan Lintas, Jalan Kolam, Jalan Damai, Jalan Bersatu, Jalan Kompleks Sukan, Jalan Istiadat, Jalan Tun Fuad Stephens dan Jalan KK Bypass.

Laluan S07 sepanjang 20km menghubungkan KK Sentral melalui Jalan Kemajuan, Jalan Coastal, Jalan Kapayan, Jalan Lapangan Terbang Baru, Jalan Lintas, Lorong Ridge 1, Lorong Bunga Patuma 9, Jalan Pintas, Jalan Penampang, Jalan Rumah Sakit (HQE), Jalan Berjasa dan Jalan Tunku Abdul Rahman sebelum kembali ke KK Sentral.

Laluan S08 yang turut meliputi 20km bermula dan berakhir di KK Sentral, melalui Jalan Kemajuan, Jalan Tuaran, Jalan Istana, Jalan Nenas, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Pintas, Jalan Berjasa, Jalan Rumah Sakit (HQE), Jalan Penampang, Jalan Lintas, Jalan Lapangan Terbang Baru, Jalan Kapayan dan Jalan Coastal.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved