YALA (THAILAND): Sekurang-kurangnya lapan pelajar cedera, tiga daripadanya terpaksa dimasukkan ke hospital, susulan 10 siri keganasan di Wilayah Yala dan Satun sejak pukul 8.30 malam hingga 6.30 pagi tadi.
Serangan dipercayai tindak balas daripada kumpulan pemisah Selatan Thai sehari selepas seorang anggota mereka ditembak mati Isnin lalu.
Tiga insiden itu melibatkan serangan bom buatan sendiri (IED) yang ditanam di tepi jalan di Daerah Thung Wa, Wilayah Satun manakala satu lagi IED diletupkan di kawasan Pejabat Pentadbiran Mukim Yala di Daerah Mueang (bandar) Yala.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, lapan insiden melibatkan pengeboman, pembakaran menara telekomunikasi, kamera litar tertutup (CCTV) dan tayar kenderaan berlaku di Daerah Mueang (Perbandaran) Yala, Bannang Sata, Krong Pinang, Kabang dan Yaha.
Menurutnya, insiden itu bermula dengan membakar tayar kenderaan di Mukim Tha Saap, Daerah Mueang dan Jalan Ban Niang-Yaha di Daerah Yaha pukul 8.30 malam, diikuti perbuatan sama di Daerah Bannang Sata dan Krong Pinang pada 8.50 malam.
“Kemudian pada pukul 9.03 malam, pihak berkuasa menerima laporan mengatakan sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu Pejabat Pentadbiran Mukim Yala di dalam bandar Yala dan menjadikan lima pekerja penyelamat sebagai tebusan.
“Kumpulan berpakaian hitam itu kemudian meletupkan kawasan pejabat berkenaan menyebabkan dua kereta, sebuah ambulans, dan trak sampah terbakar. Mereka turut melepaskan beberapa das tembakan, sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, pagi ini.
Beliau berkata, pasukan keselamatan percaya semua insiden itu dilakukan anggota kumpulan pemisah dan penyokong mereka selepas pihak berkuasa menembak mati seorang lelaki disyaki dalam satu pertempuran di lereng Bukit Saji di Daerah Thanto, Yala, kelmarin.
Dalam pertempuran itu, suspek dikenali sebagai Saudi Tingueng, 48, merupakan anggota pemisah peringkat operasi yang mempunyai tiga waran tangkap, termasuk terlibat dalam kes memenggal kepala seorang penduduk di Wilayah Yala pada 2015.
Jurucakap itu berkata, dua letupan IED dilaporkan berlaku di Daerah Thung Wa di Wilayah Satun pagi tadi menyebabkan sekurang-kurangnya lapan daripada 11 pelajar yang menaiki sebuah van cedera.
Katanya, letupan pertama berlaku di jalan utama kira-kira 500 meter dari Pusat Pemeriksaan Keselamatan Thung Wa pada pukul 6.13 pagi.
“Letupan kedua menyusul di jalan sama pada pukul 6.23 pagi. Ketika kejadian sebuah van milik Sekolah Wichianmatu di Wilayah Trang yang membawa 11 pelajar sekolah melalui kawasan itu menyebabkan kecederaan dan kerosakan,” katanya.
Beliau berkata, kejadian di Wilayah Satun adalah kali pertama selepas tujuh tahun, sekali gus mencetus kebimbangan orang ramai mengenai kemungkinan kumpulan pemisah cuba memperluaskan kawasan sasaran yang sebelum ini hanya tertumpu di Wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani.
Katanya, dalam serangan kumpulan pemisah pada 9 dan 10 Mac 2019 lalu, tiga siri letupan IED menggegarkan kawasan perbandaran Satun, termasuk insiden pengeboman di hadapan Balai Polis Mueang Satun dan Ibu Pejabat Polis Wilayah Satun. – UTUSAN
The post Lapan pelajar cedera serangan di Yala, Satun appeared first on Utusan Malaysia.






