Polis Perlis tingkat kawalan keselamatan susulan insiden keganasan Selatan Thai

11 Nov 2026 • 3:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Polis Perlis tingkat kawalan keselamatan susulan insiden keganasan Selatan Thai

KANGAR: Polis Perlis mempertingkatkan kawalan keselamatan dan risikan di sepanjang sempadan negeri ini khususnya di pintu-pintu masuk utama negara susulan siri keganasan dilaporkan di Wilayah Yala dan Satun, Thailand, sejak malam tadi.

Ketua Polis negeri yang baharu, Hamzah Hashim berkata, arahan kawalan tersebut dikeluarkan kepada Ketua Polis Daerah dan Pasukan Gerakan Am (PGA) susulan daripada insiden tersebut

Menurut beliau, kerjasama dan perkongsian maklumat dengan pihak berkuasa Thailand juga akan diperkukuh bagi mengesan serta menangani sebarang potensi ancaman lebih awal.

“Polis Kontinjen Perlis memandang serius dan sentiasa berwaspada terhadap insiden keganasan di Selatan Thailand khususnya kejadian letupan bom di Daerah Thung Wa, Wilayah Satun yang bersempadan dengan negeri Perlis.

“Susulan kejadian tersebut, arahan dikeluarkan bagi meningkatkan kawalan keselamatan dan risikan di sepanjang sempadan Perlis, khususnya di pintu-pintu masuk utama negara,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan sekurang-kurangnya lapan pelajar cedera, tiga daripadanya terpaksa dimasukkan ke hospital, susulan 10 siri keganasan di Wilayah Yala dan Satun sejak pukul 8.30 malam hingga 6.30 pagi tadi.

Serangan dipercayai tindak balas daripada kumpulan pemisah Selatan Thai sehari selepas seorang anggota mereka ditembak mati Isnin lalu.

Tiga insiden itu melibatkan serangan bom buatan sendiri (IED) yang ditanam di tepi jalan di Daerah Thung Wa, Wilayah Satun manakala satu lagi IED diletupkan di kawasan Pejabat Pentadbiran Mukim Yala di Daerah Mueang (bandar) Yala.

Hamzah menambah, orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran. – UTUSAN

The post Polis Perlis tingkat kawalan keselamatan susulan insiden keganasan Selatan Thai appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved