
SATUN – Tiga pelajar sekolah cedera, termasuk seorang parah dalam letupan bom di wilayah Satun, manakala beberapa siri serangan bom turut dilaporkan di Yala dan Songkhla sejak Selasa malam hingga pagi hari ini.
Ketua Polis Bahagian Ke-9 Leftenan Jeneral Polis Piyawat Chalermsi berkata bom yang dipercayai diletakkan berhampiran tiang elektrik di kawasan Ban Khiriwong, Satun meletup kira-kira 7 pagi dan mengenai sebuah van yang membawa lebih 10 pelajar sekolah.
“Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Thung Wa untuk rawatan, manakala laluan berkenaan ditutup sementara bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan dan siasatan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, lapan insiden pengeboman dan pembakaran dilaporkan berlaku di lima daerah di wilayah Yala kira-kira 9 malam Selasa, dengan serangan menyasarkan pejabat pentadbiran tempatan, kenderaan kerajaan dan kemudahan awam.
Ketua Polis Wilayah Yala Mejar Jeneral Polis Sakda Charengkul berkata serangan itu melibatkan pengeboman dan pembakaran bangunan pentadbiran mukim, selain pembakaran tayar serta serangan terhadap kamera litar tertutup (CCTV), menara telekomunikasi dan kenderaan milik pihak berkuasa tempatan.
“Dalam satu kejadian di daerah Mueang Yala, sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjata api menahan lima pengawal keselamatan sebelum mengikat tangan mereka dan menyerang bangunan pentadbiran mukim,” katanya.
Sakda berkata serangan itu menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan dan harta benda kerajaan termasuk jentera bomba, lori sampah, kenderaan pacuan empat roda serta beberapa kenderaan rasmi lain.
Di Songkhla, tiga tiang elektrik voltan tinggi turut menjadi sasaran letupan bom di daerah Sadao, Chana dan Na Mom kira-kira 7 pagi Rabu, menyebabkan tiang berkenaan tumbang dan menghalang laluan pengguna jalan raya.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap siri serangan berkenaan, manakala pihak berkuasa Thailand masih menjalankan siasatan. – BERNAMA
The post Letupan bom di Selatan Thailand cederakan tiga pelajar appeared first on Kosmo Online.





