
Dell Technologies baru-baru ini telah memperlihatkan laporan bertajuk Modern Enterprise Readiness Study 2026 yang melaporkan tentang tahap ketersediaan syarikat-syarikat Malaysia berkenaan penggunaan teknologi AI dalam tugasan kerja dan juga perniagaan seharian mereka.
Laporan tersebut adalah sebahagian daripada penyelidikan dan temubual 2950 eksekutif dan pembuat keputusan syarikat yang berpusat di 35 buah negara yang dilakukan oleh Vanson Bourne, sebuah syarikat penyelidik pasaran perniagaan yang berpengkalan di United Kingdom.
Dalam konteks Malaysia, laporan dan penyelidikan berikut telah mendapati bahawa kematangan penggunaan teknologi AI di kalangan syarikat-syarikat tempatan nampaknya sudah berada pada fasa yang lebih maju, dimana syarikat-syarikat tempatan sudah beralih dari fasa permulaan penggunaan teknologi AI ke fasa pertengahan, dimana mereka telahpun mula mengenalpasti teknologi-teknologi AI apakah yang diperlukan dan sesuai untuk penggunaan perniagaan, dan telah memulakan proses integrasi secara sepenuhnya.
Laporan tersebut mengatakan bahawa untuk syarikat-syarikat korporat dan perusahaan yang telah mula menggunakan teknologi AI, peratusan syarikat yang masih berada dalam fasa permulaan ke pertengahan telah beralih dari 54 peratus ke 26 peratus, dengan 22 peratus syarikat yang ditemubual mengatakan bahawa mereka sudahpun mengimplimentasi teknologi AI dan GenAI dalam proses harian perniagaan mereka.
68 peratus daripada perniagaan-perniagaan tempatan yang ditemubual mengenal pasti pemodenan infrastruktur sebagai langkah kritikal seterusnya yang merupakan peningkatan daripada 48 peratus berbanding tahun 2025. 58 peratus daripada mereka pula mengutamakan pembangunan pelan hala tuju yang lebih jelas bagi menghubungkan AI, data, dan keselamatan data syarikat dan pelanggan.
Terdapat tiga mata petunjuk lain yang menonjol tentang bagaimanakah syarikat-syarikat Malaysia mengutamakan corak penggunaan teknologi AI:
- 82 peratus menyatakan bahawa data dan harta intelek mereka memerlukan tahap perlindungan tertinggi
- 90 peratus hanya akan memperluas penggunaan AI dengan adanya strategi tenaga yang berwibawa
- 98% bersedia untuk bekerjasama dengan rakan kongsi teknologi yang mampu memberikan nilai tambahan yang lebih besar
Kebanyakan syarikat-syarikat Malaysia menyalurkan pelaburan AI ke arah pengautomasian bahagian IT dan operasi infrastruktur (60 peratus), produktiviti pekerja (56 peratus), inovasi produk dan perkhidmatan (54 peratus) serta analisa data (52 peratus).
Walaupun begitu, ini tidak bermakna bahawa syarikat-syarikat akan menaiktaraf semua bahagian syarikat dan perniagaan mereka dengan teknologi AI. Sebanyak 68 peratus organisasi di Malaysia menyatakan ketidakpastian mengenai keadaan industri mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, manakala 66 peratus menyatakan bahawa keadaan makroekonomi akan mendorong mereka untuk menjadi lebih memilih dan mementingkan pendapatan dan keuntungan dalam pelaburan teknologi.
Walaupun penggunaan teknologi AI dilihat akan membantu mempercekapkan proses syarikat di masa hadapan, proses penaiktarafan infrastruktur rangkaian, keselamatan digital, kelengkapan, peranti dan sebagainya adalah sebahagian daripada kerisauan dan keperluan perbelanjaan masa pendek yang perlu dihadapi oleh syarikat-syarikat untuk memanfaatkan teknologi tersebut.
92 peratus daripada syarikat-syarikat yang ditemubual bersetuju bahawa proses pemodenan infrastruktur IT dan AI syarikat perlu diselaraskan, dan tidak patut dilakukan secara berasingan untuk menjimatkan kos dan juga untuk memastikan bahawa setiap bahagian infrastruktur dan juga proses syarikat tidak ketinggalan.
“Momentum AI di Malaysia merupakan antara yang terkuat dalam kalangan pasaran yang kami pantau, dan komuniti perusahaan di sini sedang mengemukakan persoalan yang tepat mengenai cara untuk meningkatkan skala operasi dengan penuh keyakinan,” kata Sumash Singh, Pengarah Urusan bagi Asia Selatan dan Pasaran Baharu Muncul, Dell Technologies. “Kajian kami mengesahkan bahawa organisasi yang menyepadukan data, infrastruktur, keselamatan, dan keupayaan rakan kongsi dalam satu strategi yang menyeluruh adalah pihak yang akan berjaya mengubah penggunaan AI menjadi hasil perniagaan yang mampan dan boleh diukur. Dell sedia menyokong perjalanan tersebut.”
Sumber: Dell

