sarah27/10/2026 - 14:19 KUALA LUMPUR 27 Okt - Kebakaran hutan dan tanah di Indonesia yang dikaitkan dengan 21 syarikat mempunyai hubungan perniagaan dengan Malaysia didapati tidak bermula di kawasan ladang syarikat terbabit, sebaliknya berpunca dari kawasan lain sebelum merebak akibat cuaca panas melampau.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, perkara itu berdasarkan laporan yang diterima menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), susulan dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar Indonesia berhubung penglibatan syarikat berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya telah mengarahkan pejabat kementerian meneliti perkara itu, termasuk menyemak setiap syarikat yang dikaitkan dengan kejadian kebakaran tersebut.
"Berdasarkan laporan yang kami terima melalui MPOB, setakat ini kebakaran tidak bermula di ladang syarikat Malaysia. Ia bermula di tempat lain, tetapi disebabkan cuaca yang terlalu panas, api merebak.
"Bagaimanapun, kebakaran itu berjaya dipadamkan dengan segera," katanya kepada pemberita pada program hari terbuka untuk pelajar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), hari ini.
Noraini turut menegaskan bahawa semua syarikat perladangan tertakluk kepada piawaian Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO), yang melarang amalan pembakaran terbuka.
"Di bawah RSPO, pembakaran terbuka sama sekali tidak dibenarkan. MSPO juga menetapkan perkara yang sama.
"Pemantauan turut dijalankan secara berkala oleh MPOB," katanya seperti dilaporkan The Star.

NGO Indonesia kaitkan 21 syarikat dengan kebakaran hutan
Pada Isnin (26 Oktober), NGO alam sekitar Indonesia, Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (Walhi), mendakwa sebanyak 21 syarikat yang mempunyai kaitan dengan kumpulan perniagaan Malaysia terlibat dalam kebakaran hutan dan tanah di Indonesia sepanjang Januari hingga September tahun ini.
Dakwaan itu terkandung dalam laporan analisis pemetaan bertajuk 'Who Are Behind the Fires' yang diterbitkan Walhi bagi mengenal pasti pihak yang dikaitkan dengan kejadian kebakaran berkenaan.
Sementara itu, Indonesia pada Ahad (25 Oktober) melaporkan penurunan ketara jumlah titik panas kebakaran hutan dan tanah susulan hujan yang membantu operasi pemadaman, selepas kebakaran di wilayah Kalimantan berlarutan lebih tiga bulan akibat keadaan cuaca kering yang teruk.
Bagaimanapun, penelitian terhadap syarikat yang dikaitkan dengan dakwaan Walhi masih dilakukan, berdasarkan kenyataan Noraini bahawa kementerian akan menyemak setiap syarikat terbabit.- DagangNews.com




