ALOR GAJAH - Kerajaan hari ini menafikan dakwaan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dari Indonesia bahawa syarikat perladangan Malaysia terbabit dalam aktiviti pembakaran hutan di negara berkenaan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pemantauan dilaksanakan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendapati kebakaran yang berlaku tidak bermula di ladang milik syarikat Malaysia, sebaliknya api merebak dari kawasan lain.
Beliau berkata, selain pemantauan MPOB, syarikat perladangan terbabit turut tertakluk kepada piawaian Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) dan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
"Melalui laporan yang kami terima menerusi MPOB, setakat ini ia (kebakaran) tidak bermula di ladang tersebut. Ia bermula dekat tempat lain tapi apabila disebabkan cuaca terlampau panas, ia bergerak tetapi dapat dipadamkan dengan segera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Penutup JELITA Open Day - 12 Hours Sprint Training yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Durian Tunggal di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin.
Semalam, NGO alam sekitar Indonesia, Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI) mendakwa 21 syarikat yang mempunyai kaitan dan gabungan dengan kumpulan perniagaan dari Malaysia terbabit kes kebakaran hutan dan tanah di negara itu bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Dapatan itu adalah sebahagian laporan analisis pemetaan bertajuk 'Who Are Behind the Fires?' dikeluarkan Eksekutif Nasional WALHI.
Menurut laporan itu, data satelit mencatatkan sekurang-kurangnya 30,927 titik panas di seluruh Indonesia sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, dengan hampir 50 peratus daripadanya berada dalam kawasan konsesi operasi syarikat perladangan kelapa sawit dan perhutanan.
Antara wilayah mencatatkan kepekatan titik panas tertinggi termasuk Kalimantan Barat iaitu 9,529 dan Kalimantan Tengah sebanyak 7,141 yang mengakibatkan Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) di kawasan terjejas berada pada tahap tidak sihat hingga berbahaya. - Bernama






