
Kota Kinabalu: Berita negatif berkaitan hospital termasuk kekurangan doktor boleh menjejaskan industri pelancongan perubatan Sabah yang menjana pendapatan sebanyak RM3.4 bilion pada 2025.
Hospital swasta di Sabah yang berminat merebut peluang daripada pertumbuhan industri pelancongan perubatan Malaysia mungkin terjejas akibat laporan negatif berterusan mengenai keadaan hospital dan klinik kerajaan.
Laporan media serantau dan antarabangsa mengenai kekurangan doktor di negeri ini khususnya doktor pakar yang hanya melibatkan hospital kerajaan turut memberi kesan kepada reputasi Sabah.
Insiden terbaharu membabitkan seorang pakar bedah yang terpaksa menggunakan lampu suluh telefon bimbit untuk meneruskan prosedur pembedahan ketika bekalan elektrik terputus di bilik bedah disifatkan tidak membantu usaha mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan perubatan.
Penganalisis Ekuiti Philip Capital Malaysia, Shahira Rahim (gambar) berkata industri pelancongan perubatan Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 33 peratus dalam tempoh lima tahun.
“Pada 2025, lebih 970,000 pelancong kesihatan dari Indonesia mengunjungi Malaysia mewakili pertumbuhan 23 peratus tahun ke tahun,” katanya.
“10 negara utama yang menjadi sumber pelancong kesihatan ke Malaysia ialah Indonesia, Filipina, Singapura, Jepun, Bangladesh, India, China, Britain, Myanmar dan Amerika Syarikat.
“Indonesia kekal sebagai pasaran sumber terbesar dengan menyumbang lebih 70 peratus daripada jumlah keseluruhan ketibaan pelancong perubatan ke Malaysia.
“Permintaan tertumpu kepada beberapa bidang kepakaran utama termasuk pemeriksaan kesihatan, gastroenterologi, onkologi, kardiologi, endokrinologi dan pembedahan ortopedik,” katanya.
Ujarnya pelancong Indonesia membentuk 77 peratus daripada jumlah pelancong kesihatan ke Malaysia, meskipun pengendali hospital swasta Indonesia seperti Heal, Silo dan Mika sedang memperluaskan kapasiti bagi memenuhi peningkatan permintaan domestik.
Bagaimanapun menurut beliau Indonesia masih berdepan kekangan struktur dalam penawaran perkhidmatan kesihatan dengan kepadatan katil hospital hanya 1.7 katil bagi setiap 1,000 penduduk sekali gus menunjukkan jurang kapasiti yang masih ketara.
“Heal (Medikaloka Hermina), Silo (Siloam International Hospitals) dan Mika (Mitra Keluarga Karyasehat) merupakan antara pengendali hospital swasta terbesar yang disenaraikan di Bursa Saham Indonesia (IDX) dengan masing-masing menawarkan segmen pesakit dan model penjagaan kesihatan berbeza.
“Melihat kepada keadaan ini, kami menjangkakan pertumbuhan berterusan dalam jumlah rakyat Indonesia yang mendapatkan rawatan perubatan di Malaysia,” jelasnya.
Shahira turut menyentuh kelemahan harga saham KPJ dan IHH dalam tempoh enam bulan lalu.
Kedua-dua kumpulan berkenaan mengendalikan hospital pakar swasta di Sabah termasuk Gleneagles Kota Kinabalu di bawah IHH.





