Biasiswa RM1 juta bantu lahir lebih ramai doktor Sabah

LocalHealth & Fitness
19 Nov 2026 • 5:05 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Biasiswa RM1 juta bantu lahir lebih ramai doktor Sabah

Kota Kinabalu: Sabah memperuntukkan RM1 juta dalam bentuk biasiswa bagi menggalakkan lebih ramai pelajar tempatan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, sekali gus membantu menangani masalah kekurangan doktor yang berlarutan di negeri ini.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata keutamaan akan diberikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian perubatan menerusi inisiatif biasiswa itu, memandangkan Sabah masih berdepan kesukaran menarik dan mengekalkan khidmat profesional perubatan.

Katanya, negeri ini masih bergantung kepada doktor dari Semenanjung Malaysia, manakala sebahagian pegawai perubatan yang ditawarkan penempatan di Sabah pula keberatan menerima tawaran berkenaan.

“Kita mahu lebih ramai pelajar Sabah menceburi bidang Stem, khususnya perubatan, supaya kita dapat melahirkan doktor sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga perubatan dari luar negeri. Peruntukan biasiswa RM1 juta itu akan memberi keutamaan kepada pelajar yang mengikuti pengajian perubatan,” katanya selepas merasmikan majlis penutupan program Teater Mini Stem peringkat negeri yang melibatkan 10 sekolah menengah dari Pantai Barat Sabah.

Sekolah-sekolah yang mengambil bahagian, kebanyakannya dari Beaufort, Kimanis, Membakut dan Bongawan, mempamerkan 20 produk inovasi, dengan satu daripadanya mendapat pengiktirafan di peringkat inovasi kebangsaan.

James berkata pencapaian itu membuktikan potensi bakat muda Sabah serta pentingnya menyediakan peluang kepada mereka untuk mengikuti pendidikan berasaskan sains.

Beliau berkata inisiatif biasiswa itu turut melengkapi komitmen kerajaan negeri menyediakan kira-kira RM460 juta dalam bentuk biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Stem Kebangsaan Prof Datuk Noraini Idris berkata program berkenaan mencatat perkembangan memberangsangkan sejak diperkenalkan pada 2023.

Katanya, lebih 80 peratus pelajar daripada 10 sekolah yang menyertai program itu telah memasuki Tingkatan Empat aliran Stem A (Sains Tulen), selepas memulakan penyertaan ketika berada di Tingkatan Satu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut atas sokongan berterusan yang membantu menggalakkan lebih ramai pelajar Sabah mengikuti pendidikan berasaskan sains.

Noraini berkata peluang biasiswa turut memberi manfaat kepada pelajar yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan aeroangkasa, khususnya dengan industri aeroangkasa dijangka berkembang di Sabah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved