
PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) kini akan mengemukakan laporan paras air di tangki R13 Universiti Malaysia Sabah (UMS) setiap jam.
Beliau berkata langkah itu bagi membantu universiti itu menyusun semula jadual operasi pengepaman air ke seluruh kampus.
“Langkah itu dicapai hasil lawatan dan perbincangan bersama antara JANS dan pihak pengurusan UMS susulan aduan berkaitan gangguan bekalan air di kampus berkenaan.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Hasil mesyuarat dan lawatan saya ke UMS dua minggu lalu, kedua-dua pihak bersetuju bahawa jumlah air yang masuk ke tangki R13 sebenarnya mencukupi.
“Bagaimanapun, indikator paras air di tangki itu tidak berfungsi, menyebabkan pihak UMS keliru dan sukar mengatur jadual operasi pam,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lembu Korban sempena Hari Raya Aidiladha Parlimen Putatan di sini, Selasa.
Justeru, katanya, JANS akan menghantar laporan paras air setiap jam kepada UMS sehingga indikator baharu dipasang dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.
“Saya juga akan turun semula ke lokasi selepas pemasangan dibuat, bagi memastikan tiada lagi kekeliruan atau masalah koordinasi antara kedua-dua pihak,” katanya.
Shahelmey mengulas teguran keras Naib Canselor UMS Datuk Dr Kasim Mansur terhadap kenyataan JANS pada 29 Mei, yang mendakwa universiti itu sentiasa menerima bekalan air mencukupi dan isu teknikal dalaman menjadi punca gangguan.
Karim menggambarkan dakwaan itu sebagai “pembohongan” dan “menghina kebijaksanaan kami,” sebaliknya menunjuk kepada aras lebih tinggi UMS dan cara pengagihan dari tangki R13, yang juga membekalkan kawasan komersial dan kerajaan berdekatan, sebagai punca isu tersebut.
Shahelmey turut meminta JANS menyimpan rekod harian jumlah air yang disalurkan ke tangki R13 sepanjang bulan Mei, dan mendapati sejak 19 Mei hingga Isnin, bekalan air adalah mencukupi malah melebihi keperluan.
“Namun antara 14 hingga 19 Mei, satu daripada pam milik UMS rosak dan hanya satu pam yang beroperasi. Ini mungkin menyebabkan jumlah air yang disalurkan dari tangki ke seluruh kampus berkurangan ketika itu,” jelasnya.
Mengulas kenyataan sesetengah pelajar UMS yang dilaporkan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap JANS kerana didakwa mengeluarkan kenyataan palsu, Shahelmey menyifatkannya sebagai pandangan kritikal dari kalangan pemimpin pelajar.
“Yang penting sekarang adalah kerjasama erat antara JANS dan UMS. Kita mahu bekalan air tidak terganggu terutamanya bulan ini, kerana pelajar asasi dan Sarjana Muda akan menghadapi peperiksaan. Kita mahu mereka fokus kepada pembelajaran,” katanya.

