Laporan RCI Tabung Haji setebal 211 halaman diterbitkan

LocalPolitics
29 Jul 2026 • 10:05 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Laporan RCI Tabung Haji setebal 211 halaman diterbitkan

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Dokumen setebal 211 halaman dalam format dokumen mudah alih (PDF) itu dimuat naik di laman web JAKIM malam ini dan mengandungi ringkasan eksekutif, empat bab utama serta senarai ekshibit berkaitan siasatan.

Ia turut mengandungi penemuan siasatan dan syor penambahbaikan pengurusan dan operasi TH untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

RCI yang dianggotai enam pesuruhjaya itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif manakala anggotanya termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman dan pengasas RHB Group Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Tiga lagi anggota ialah Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid, Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) Prof Dr Asmadi Mohamed Naim serta akauntan bertauliah Norsyahrin Hamidon.

Datuk Hakimah Mohd Yusoff, yang ketika itu sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, dilantik sebagai Setiausaha Suruhanjaya berkenaan.

Enam pesuruhjaya itu dilantik dan ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 20 Jan 2022, dengan tempoh pelantikan selama enam bulan hingga 19 Julai tahun sama.

Menurut laporan itu, siasatan dijalankan menerusi empat pendekatan iaitu pengumpulan rekod dan dokumen, taklimat agensi, Akuan Berkanun Saksi serta prosiding Suruhanjaya.

“Suruhanjaya telah mengenal pasti 45 saksi yang boleh membantu siasatan dan mengambil keterangan mereka menerusi Akuan Berkanun Saksi, manakala 16 daripadanya dipanggil memberikan keterangan dalam prosiding tertutup di Kompleks Islam Putrajaya,” menurut laporan itu.

Antara saksi yang dipanggil ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, bekas Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Tan Sri Md Nor Md Yusof serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah.

Skop siasatan RCI meliputi penelitian terhadap isu berkaitan TH sepanjang 2014 hingga 2020 dengan merujuk penemuan firma PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger, tidak termasuk pelan penstrukturan serta pemulihan yang sedang dijalankan ketika itu.

Suruhanjaya turut ditugaskan meneliti dokumen dan bukti bagi menentukan sama ada berlaku penyembunyian maklumat atau pemberian kenyataan mengelirukan, selain mengesyorkan tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang.

Empat bab utama laporan berkenaan merangkumi pengenalan, latar belakang pengurusan dan operasi TH, penemuan dan cadangan Suruhanjaya serta rumusan yang menggariskan 25 syor penambahbaikan.

Penubuhan RCI itu dipersetujui Jemaah Menteri pada 14 Julai 2021 mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, manakala objektif dan skop siasatannya ditetapkan pada 8 Okt tahun sama.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved