Larangan sambutan Hari Guru hanya babit sekolah JAIS, bukan KAFA swasta - Mohammad Fahmi

LocalPolitics
12 May 2026 • 9:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Larangan sambutan Hari Guru hanya babit sekolah JAIS, bukan KAFA swasta - Mohammad Fahmi
Laporan Sinar Harian pada 12 Mei 2026.

SHAH ALAM - Ketetapan tidak membenarkan sambutan Hari Guru tahun ini hanya membabitkan sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan tidak terpakai kepada Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) swasta.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah berkata, KAFA swasta masih dibenarkan mengadakan sambutan Hari Guru dengan syarat ia dilaksanakan secara sederhana dan tidak berlebihan.

Menurutnya, keputusan yang dibuat JAIS itu hanya membabitkan institusi pendidikan di bawah pentadbiran penuh jabatan berkenaan.

"Dalam surat itu dimaklumkan bahawa sekolah di bawah pentadbiran JAIS sahaja yang tidak dibenarkan mengadakan sambutan Hari Guru.

"Kalau KAFA swasta dibenarkan, tetapi saya minta supaya dibuat secara berhemah dan tidak berlebih-lebihan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohammad Fahmi berkata, sekolah KAFA swasta kebanyakannya diuruskan oleh jawatankuasa pengurusan sekolah masing-masing dan menggunakan dana sendiri.

Beliau berkata, keputusan JAIS itu dibuat sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan peningkatan kos sara hidup dan ketidaktentuan geopolitik semasa.

"JAIS melihat perlu ada sedikit kawalan dan persediaan menghadapi hari mendatang termasuk kemungkinan harga barang dan bahan api meningkat," tambah beliau.

Terdahulu, tular surat edaran JAIS yang menetapkan semua sekolah di bawah pentadbiran jabatan itu tidak dibenarkan mengadakan Sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah tahun ini.

Surat ditandatangani Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad itu memaklumkan ketetapan dibuat bagi membolehkan sekolah memberi tumpuan kepada aktiviti pembelajaran selain mengutamakan penggunaan sumber kewangan untuk peningkatan profesionalisme guru dan program pembangunan pelajar.

Susulan itu, Mohd Shahzihan dalam kenyataan medianya memaklumkan, keputusan tidak mengadakan Sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah bagi semua institusi di bawah JAIS tahun ini dibuat selaras dengan saranan kerajaan supaya rakyat berbelanja secara berhemah berikutan ketidaktentuan geopolitik semasa.

Menurut beliau, ketetapan itu turut mengambil kira titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar rakyat melakukan perbelanjaan mengikut keperluan dan keutamaan secara bijaksana.