SHAH ALAM – Keputusan tidak mengadakan Sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah bagi semua institusi di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tahun ini dibuat selaras dengan saranan kerajaan supaya rakyat berbelanja secara berhemah susulan ketidaktentuan geopolitik semasa.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan itu turut mengambil kira titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar rakyat melakukan perbelanjaan mengikut keperluan dan keutamaan secara bijaksana.
Menurutnya, keputusan itu dimaklumkan menerusi surat edaran bertarikh 7 Mei lalu kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah di seluruh Selangor.
"JAIS juga membuat keputusan ini berikutan wujudnya kesan kepada ibu bapa atau penjaga yang menjadi tradisi menyediakan hadiah-hadiah tertentu kepada guru atas permintaan anak-anak," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Shahzihan memaklumkan, pemberian hadiah kepada guru perlu dihentikan dalam keadaan sekarang kerana ia memberi kesan kewangan kepada ibu bapa atau penjaga.
Bagaimanapun, beliau berkata, JAIS, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor tetap menghargai jasa serta pengorbanan guru di bawah seliaan jabatan itu.
Katanya, sebagai tanda penghargaan, Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor akan diadakan pada 21 Mei ini dengan peruntukan melebihi RM200,000 bagi mengiktiraf tokoh guru dan sekolah cemerlang.
Beliau berkata, sumber kewangan sedia ada sebaliknya akan dimanfaatkan untuk peningkatan profesionalisme guru serta pelaksanaan program meningkatkan kualiti dan sahsiah pelajar.
"JAIS akan mempertimbangkan semula sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah apabila keadaan kembali stabil selain menilai semula kaedah pelaksanaannya supaya lebih ringkas dan tidak mengganggu proses pembelajaran di sekolah," tambah kenyataan itu.
Terdahulu, tular di media sosial surat edaran bertajuk 'ketetapan untuk tidak melaksanakan sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah' yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Surat ditandatangani Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad itu ditujukan kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah seluruh Selangor.
Menerusi surat itu, JAIS menetapkan semua sekolah di bawah pentadbiran jabatan itu tidak dibenarkan menganjurkan sebarang Sambutan Hari Guru sama ada di peringkat sekolah mahupun daerah.
Surat itu memaklumkan, ketetapan itu dibuat selaras dengan hasrat JAIS supaya pihak sekolah memberi tumpuan sepenuhnya kepada aktiviti pembelajaran di dalam serta luar bilik darjah.





