
ANAK Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha terus cemerlang dalam acara merentas desa apabila terpilih mewakili pasukan Negeri Sembilan ke Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2026 (MSSM).
Dr Sheikh Muszaphar menerusi Instagram berkongsi anak keduanya, Sophea Natasha, 13, yang mesra disapa Tasha akan bertarung bagi kategori pelajar perempuan bawah 15 tahun di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa, Labuan.
"Tahun ini di Labuan, seramai 30 atlet akan mewakili setiap negeri dan terdapat enam kategori.

"Tasha bertanding di bawah kategori P15 dengan Negeri Sembilan kerana Kolej Tunku Khursiah (TKC) di bawah negeri ini," titipnya.
Dalam pada itu, bapa kepada tujuh cahaya mata itu memberikan kata-kata semangat buat Tasha dan akan berada di sana memberikan sokongan.

"Selamat maju jaya buat Tasha. Berlari dengan pantas, daddy akan tunggu di garisan penamat.
"P/S: Kali ini ia adalah larian pantai, selamat berjaya buat semua pasukan," titipnya.
Sekadar info, Tasha tidak asing lagi dalam arena sukan. Dia merupakan salah seorang peserta Program Pembangunan Sukan Bakat Olimpik 2025/2026 dalam sukan renang.

