Larian Kesyukuran Syed Saddiq kutip lebih RM54,000 pada hari pertama

LocalPolitics
17 Jul 2026 • 10:43 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Larian Kesyukuran Syed Saddiq kutip lebih RM54,000 pada hari pertama
Syed Saddiq memulakan misi Larian Kesyukuran sejauh kira-kira 170 kilometer dari pekarangan Istana Kehakiman di Presint 3, Putrajaya menuju ke Muar, Johor.

SHAH ALAM – Misi Larian Kesyukuran yang digerakkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengumpul dana sebanyak RM54,692 pada hari pertama pelaksanaannya.

Menerusi perkongsian video di laman Facebooknya, Syed Saddiq menzahirkan penghargaan kepada semua penyumbang dan penyokong yang memberikan sokongan sepanjang perjalanan misi berkenaan.

Beliau berkata, kutipan tersebut berjaya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai yang mengikuti perjalanan Larian Kesyukuran itu.

"RM54,692. Itulah jumlah berjaya kita kumpulkan pada hari pertama Larian Kesyukuran Muar, alhamdulillah. Thank you so much kepada semua yang menyumbang dan menyokong perjalanan ini,"  katanya menerusi video yang dikongsi di laman sosialnya itu.

Syed Saddiq berkata, perjalanan hari pertama bermula dari Putrajaya menuju ke Salak Tinggi sebelum diteruskan hingga ke Labu.

Katanya, beliau dan pasukan berhenti seketika bagi menunaikan solat Maghrib sebelum meneruskan larian sehingga destinasi terakhir bagi hari pertama.

Sebelum ini, Syed Saddiq memulakan misi Larian Kesyukuran sejauh kira-kira 170 kilometer dari pekarangan Istana Kehakiman di Presint 3, Putrajaya menuju ke Muar, Johor.

Misi larian selama empat hari itu dilaksanakan sebagai tanda kesyukuran selepas melalui perjuangan panjang membersihkan nama dan maruahnya.

Selain itu, program berkenaan turut membawa matlamat kebajikan dengan sasaran mengumpul dana sebanyak RM200,000 bagi membantu penduduk di kawasan Parlimen Muar.

Syed Saddiq mengakui terkejut dengan sambutan yang diterima sepanjang laluan larian apabila orang ramai sanggup menunggu di tepi jalan bagi memberikan sokongan dan kata-kata semangat.

Menurutnya, sokongan diterima bermula dari Putrajaya hingga ke Salak Tinggi, sebelum sambutan lebih meriah diterima ketika tiba di Labu walaupun pada waktu lewat malam.

"Saya mungkin orang yang berlari, tetapi perjalanan ini sebenarnya digerakkan oleh anda semua.

"Terima kasih Putrajaya, terima kasih Salak Tinggi dan terima kasih Labu," katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai meneruskan sokongan terhadap misi berkenaan bagi membantu mencapai sasaran kutipan dana yang akan disalurkan kepada program food bank serta penyediaan pek pendidikan untuk penduduk di kawasan Parlimen Muar.

Orang ramai juga dipelawa untuk terus menyumbang melalui laman sesawang lariankesyukuranmuar.com bagi membantu mencapai sasaran kutipan dana tersebut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved