
Baru Hari Pertama, Larian Syed Saddiq Sudah Kutip Lebih RM54,000 Untuk Bantu Rakyat Muar
Belum pun menamatkan cabaran larian sejauh kira-kira 170 kilometer, usaha Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumpul dana buat rakyat Muar mula membuahkan hasil apabila kutipan mencecah lebih RM54,000 hanya pada hari pertama.
Perkembangan itu dikongsikan Syed Saddiq menerusi satu hantaran di Instagram selepas memulakan Larian Kesyukuran Muar dari Putrajaya menuju ke Muar semalam.
Menurut beliau, sebanyak RM54,692 berjaya dikumpulkan setakat hari pertama daripada sasaran keseluruhan RM200,000.
Katanya, sepanjang perjalanan ramai orang sanggup menunggu di tepi jalan bagi memberikan sokongan serta mendoakan kelancaran larian tersebut.
“Saya terkejut apabila sampai di Labu. Hari dah malam, tetapi masih ramai yang tunggu dan beri semangat,” ujarnya.
Menurut Syed Saddiq, dana yang berjaya dikumpulkan akan digunakan bagi menjayakan inisiatif Foodbank serta pembelian iPad untuk masyarakat dan pelajar di Muar yang memerlukan.
Terdahulu, beliau memulakan larian sejauh kira-kira 170 kilometer dari Istana Kehakiman, Putrajaya menuju ke Laman Maharani, Muar sebagai tanda kesyukuran selepas melalui pelbagai cabaran, selain mengumpul dana kebajikan.
Larian yang dijadual berlangsung selama empat hari itu turut bertujuan menyediakan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan serta membantu pelajar mendapatkan akses kepada peranti pembelajaran.
Semua sumbangan disalurkan melalui akaun rasmi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar, manakala perkembangan kutipan dana akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut memberikan kata-kata semangat kepada Ahli Parlimen berkenaan.
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza atau @ctdk, berkata ringkas, "Syabas YB!! Stay strong."
Seorang aktivis masyarakat, @adrianedy7, pula optimis sasaran kutipan itu mampu dilepasi.
“RM500 ribu akan dapat dikumpulkan pada hari terakhir nanti, tidak ada yang mustahil. Jaga diri YB, semoga sampai dengan selamat nanti,” katanya.
Sementara itu, pengguna @yatihamidmakeup menyifatkan usaha tersebut sebagai satu pengorbanan besar demi membantu rakyat.
“Sebaq we... Seorang YB yang bernama Syed Saddiq sanggup berlari sejauh tu demi rakyat Muar. Syabas YB Syed Saddiq,” katanya.






