
SHAH ALAM, 19 JULAI: Jelajah Larian Obor sempena SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 diteruskan di Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) hari ini, bagi menyemarakkan lagi semangat orang ramai menjelang temasya sukan terbesar negara itu.
Majlis pelepasan di Subang Parade disempurnakan EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi.
Turut hadir Ketua Kontinjen SUKMA Selangor Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi; Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor Dato’ Mohd Yazid Sairi; Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Amirul Azizan Abdul Rahim serta Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi.
Program berkenaan sebahagian daripada siri jelajah Larian Obor SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 yang diadakan di seluruh negeri sebagai simbolik semangat perpaduan serta sokongan rakyat terhadap temasya sukan itu.
Jelajah tersebut turut menghimpunkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha menyemarakkan sambutan menjelang penganjuran SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA 2026 akan diadakan dari 5 hingga 14 September.



