
AKTOR Namron memberikan sokongan buat Que Haidar agar kembali aktif dalam industri seni.
Pengarah One Two Jaga itu juga sempat mengenang pengorbanan Que yang meninggalkan kerjaya, impian dan demi famili.
"I stand with Que Haidar. Pernah meninggalkan kerjaya, impian dan cita cita demi untuk keluarga.
"Pernah merasa kehilangannya dalam dunia seni rindu untuk melihatnya beraksi," kongsinya.

Dalam pada itu, dakwa Namron,Que atau nama penuhnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar berusaha untuk kembali aktif dalam dunia seni.
Bagaimanapun, kata Namron atau nama penuhnya Shahili Abdan, 57, wujud ada unsur seolah-olah mahu ‘merampas’ semula peluangnya dalam industri tersebut.
"Kini ketika kembali untuk mengubati rindu kami, dia cuba dirampas semula daripada kami.
"Tolong jangan menghilang lagi. Terus berdiri dan lawan. Jangan menyerah. Aku tahu kau kuat," titipnya.
Terdahulu, aktres Ellie Suriati mendakwa terdapat seseorang yang cuba untuk mengawal segala perihalnya berkaitan dengan kerjaya seni Que.
Dakwanya, individu berkenaan juga meletakkan syarat supaya Que tidak berlakon bersama selebriti wanita.
Sebelum ini, isu perceraian antara Que dan Linda Jasmine kembali menjadi bualan warganet selepas guru tari itu mendakwa perpisahan itu berlaku demi melindungi anak-anak mereka daripada kejahatan.
Untuk rekod, Que mengumumkan perceraiannya dengan Linda pada 2 Julai 2024,
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Tengku Ratu Haidar, 16, dan Tengku Cleopatra Haidar, 13.
Linda juga memiliki seorang anak lelaki, Qalif Khan, 24, daripada perkahwinan yang terdahulu.


