
KUALA LUMPUR: Penyerang Vietnam, Nguyen Xuan Son mengakui Malaysia bukan lawan yang boleh dipandang sebelah mata apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam aksi separuh akhir Piala ASEAN 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.
Pemain kelahiran Brazil itu menyifatkan pertemuan dengan Harimau Malaya sebagai aksi istimewa dan cukup besar, namun menegaskan Vietnam hadir dengan keyakinan tinggi selepas menjalani persiapan rapi.
“Saya menjangkakan perlawanan esok (menentang Malaysia) akan menjadi perlawanan yang besar. Menentang Malaysia sememangnya sesuatu yang istimewa. Mereka mempunyai skuad yang baik dan kami datang ke Malaysia untuk memberikan aksi terbaik.
“Saya akan melakukan yang terbaik. Saya teruja untuk beraksi di separuh akhir kerana ini adalah perlawanan yang besar. Kami berharap dapat memberikan persembahan yang baik esok,” jelas Nguyen Xuan Son dalam sidang media pra-perlawanan di sini, semalam.
Walaupun baru mengumpul dua gol daripada empat penampilan sepanjang kempen kali ini, kehadiran Xuan Son tetap menjadi ancaman utama kepada benteng Harimau Malaya, apatah lagi pengalamannya berdepan pertahanan Malaysia sebelum ini.
Penyerang berusia 29 tahun itu juga dijangka menjadi antara sandaran utama Vietnam untuk memecah kebuntuan bagi meneruskan rekod cemerlangnya bersama skuad Naga Emas.
Xuan Son turut memberi perhatian terhadap keadaan permukaan padang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, yang menurutnya bukan jenis padang kegemarannya.
Bagaimanapun, dia enggan menjadikan keadaan padang sebagai alasan dan percaya pengalaman beraksi di permukaan sama ketika beraksi di Vietnam membolehkannya menyesuaikan diri.
“Sejujurnya, saya tidak begitu menggemari jenis rumput seperti ini. Namun, saya sudah banyak kali beraksi di Vietnam di stadium yang mempunyai keadaan padang seperti ini.
“Bagi saya, tiada masalah untuk beraksi dalam situasi sebegini. Apa pun, kami berharap dapat memberikan aksi yang baik pada perlawanan esok,” ujarnya.
Vietnam hadir ke Cheras dengan rekod cemerlang selepas memenangi lima pertemuan terakhir menentang Malaysia, termasuk kemenangan 3-1 dalam aksi terakhir Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 pada Mac lalu. – UTUSAN
The post ‘Lawan Malaysia sesuatu yang istimewa’ appeared first on Utusan Malaysia.



