Lupakan kalah 1-10, Speedy Tigers buru kejutan lawan Jerman

15 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lupakan kalah 1-10, Speedy Tigers buru kejutan lawan Jerman

PETALING JAYA: Luka kekalahan 1-10 kepada Jerman dua tahun lalu menjadi antara cabaran yang perlu diketepikan skuad hoki negara apabila kedua-dua pasukan kembali bertembung pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala Dunia Hoki 2026, malam ini.

Perlawanan di Wavre itu dijadualkan berlangsung pada pukul 8.30 malam waktu Malaysia, dengan Malaysia yang menghuni ranking ke-14 dunia berdepan Jerman di tangga kelima serta juara dunia 2023.

Rekod pertemuan juga jelas memihak kepada gergasi Eropah itu apabila Jerman memenangi enam daripada lapan pertemuan rasmi yang direkodkan, manakala Malaysia hanya menang sekali dan satu lagi berkesudahan seri.

Lebih membimbangkan, pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pada Julai 2024 menyaksikan Jerman membelasah Malaysia 10-1 dalam aksi pemanas badan menjelang Sukan Olimpik Paris, dengan Fitri Saari menjaringkan gol tunggal negara menerusi pukulan sudut penalti.

Namun, ketua jurulatih negara Brendon Carolan tidak mahu sejarah dan perbezaan ranking menjadi alasan untuk Speedy Tigers menukar identiti permainan, sebaliknya menuntut keseimbangan antara keberanian menyerang dengan disiplin bertahan.

“Setiap perlawanan adalah mengenai keseimbangan dan kita perlu bersedia untuk setiap perlawanan, kerana jika mahu meletakkan diri dalam perlawanan akhir, kita tidak boleh hanya mempunyai strategi bertahan.

“Kita perlu keluar dengan strategi yang mampu menewaskan lawan kerana akhirnya perlawanan seperti ini pasti menjadi saingan yang hebat,” kata Carolan.

Malaysia juga tidak boleh terlalu terpesona dengan kekuatan Jerman sehingga melupakan kelebihan sendiri apabila Carolan mahu anak buahnya memperkemaskan sistem pasukan berbanding sekadar bertindak balas terhadap corak permainan lawan.

“Kami mempunyai kekuatan dan sistem permainan sendiri, jadi kami hanya perlu memastikan kami terus bertambah baik dalam sistem itu daripada terlalu memberi tindak balas terhadap pasukan yang dilawan,” katanya.

Cabaran itu cukup besar memandangkan Jerman hadir sebagai kuasa tradisi dunia dengan empat emas Olimpik dan tiga gelaran Piala Dunia, selain muncul juara dunia di Bhubaneswar-Rourkela pada 2023 selepas menewaskan Belgium pada final.

Namun, Malaysia bukan datang tanpa harapan apabila pada Piala Dunia 2023 di India, Speedy Tigers mara ke peringkat kalah mati sebagai naib juara kumpulan sebelum tewas tipis kepada Sepanyol menerusi penentuan penalti selepas terikat 2-2.

Justeru, aksi pembukaan pukul 8.30 malam ini bukan sekadar ujian untuk melupakan kekalahan 1-10, tetapi peluang terbaik Speedy Tigers membuktikan mereka mampu berdiri sama tinggi apabila berdepan juara dunia, sebelum bertemu Perancis pada 17 Ogos dan Belgium pada 19 Ogos. – UTUSAN

The post Lupakan kalah 1-10, Speedy Tigers buru kejutan lawan Jerman appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved