TAIPING - Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menyatakan kesediaannya untuk memberi kerjasama penuh kepada Jawatankuasa Pilihan (JKP) Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Parlimen Malaysia susulan cadangan lawatan ke Jepun bagi meneliti isu melibatkan tiga ekor gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat.
Yang Dipertua MPT, Mohamed Akmal Dahalan berkata, pihaknya mengambil maklum tindakan jawatankuasa berkenaan yang sedang meneliti perkara itu sebagai sebahagian daripada proses penelitian dan pengumpulan maklumat.
Menurutnya, sekiranya terdapat sebarang perkara yang melibatkan MPT dalam proses tersebut kerjasama akan diberikan bagi memastikan semua maklumat yang diperlukan dapat disalurkan dengan sewajarnya.
“MPT komited terhadap prinsip ketelusan dan integriti dalam menguruskan isu ini.
“Kami berharap segala tindakan serta proses yang sedang dijalankan oleh semua pihak berkaitan termasuk JKP dapat membantu membentangkan keadaan sebenar kepada orang awam serta menjernihkan keadaan berdasarkan fakta dan maklumat yang tepat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan persoalan dibangkitkan pelbagai pihak mengenai mengapa salinan penuh perjanjian kerjasama antara Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) di bawah kelolaan MPT dan Tennoji Zoo Osaka (TZO) tidak didedahkan kepada umum sehingga menimbulkan persepsi kononnya wujud isu ketelusan.
Mohamed Akmal menjelaskan, dokumen berkenaan merupakan dokumen rasmi kerajaan yang berstatus sulit serta tertakluk kepada beberapa aspek perundangan dan obligasi profesional yang perlu dihormati oleh kedua-dua pihak.
Bagaimanapun katanya, MPT sentiasa bersedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berkuasa siasatan yang memerlukan akses kepada dokumen perjanjian itu.
“Pelbagai perkara utama dan intipati perjanjian telah dikongsikan dari semasa ke semasa melalui kenyataan media, sesi penerangan serta penjelasan kepada pihak berkepentingan.
“Ia termasuk aspek kebajikan haiwan, pemantauan kesihatan, tanggungjawab kedua-dua pihak serta komitmen terhadap konservasi dan standard penjagaan haiwan,” katanya.
Beliau berkata, setiap terma dalam perjanjian tersebut telah diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek perundangan, kebajikan haiwan dan amalan terbaik antarabangsa termasuk berpandukan Akta Kebajikan Haiwan 2015, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Malaysian National Elephant Conservation Action Plan (NECAP) serta garis panduan World Association of Zoos and Aquariums.
Dalam perkembangan sama, Mohamed Akmal memaklumkan, satu Mesyuarat Jawatankuasa Bersama di antara ZTNS dan TZO akan diadakan secara berkala bagi memantau perkembangan program, kebajikan haiwan dan isu pengurusan membabitkan tiga gajah berkenaan.
Katanya, TZO turut diwajibkan mengemukakan laporan tahunan mengenai kesihatan, perkembangan dan pengurusan gajah selain tertakluk kepada audit serta pemantauan berkala oleh MPT dan agensi berkaitan.
Pada 14 Mei lalu JKP Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Parlimen mencadangkan supaya satu sesi tinjauan fizikal dilakukan ke atas tiga ekor gajah Asia milik Zoo Taiping dan Night Safari yang dipindahkan ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.
Jawatankuasa dianggotai 12 Ahli Dewan Rakyat dan dipengerusikan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Mohamed @Hashim itu memaklumkan tinjauan tersebut bagi melihat sendiri keadaan DAK' susulan isu berkenaan menjadi perhatian serta mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat.





