
Lawatan Rasmi YB Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Ke Moscow Dan Kazan, Persekutuan Rusia 13-16 Mei 2025
PUTRAJAYA, 20 MEI 2025 – YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, telah selamat pulang ke tanah air pada Sabtu, 17 Mei 2025 setelah menamatkan lawatan rasmi ke Persekutuan Rusia sebagai sebahagian daripada delegasi YAB Perdana Menteri.

Lawatan rasmi delegasi Malaysia bermula pada 13 Mei 2025 di Moscow. Sepanjang berada di sana, YB Menteri telah menghadiri beberapa sesi pertemuan dua hala dengan TYT Vladimir Putin, Presiden Persekutuan Rusia; TYT Mikhail Mishustin, Perdana Menteri Rusia; serta delegasi industri dari negara tersebut. Pertemuan-pertemuan ini memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama strategik antara Malaysia dan Rusia, khususnya dalam bidang keterjaminan makanan dan pertanian. Turut dibincangkan adalah peluang pelaburan serta kerjasama teknologi antara kedua-dua negara.

Di sela-sela program di Moscow, YB Menteri turut bertemu PYT Oksana Lut, Menteri Pertanian Rusia. Dalam pertemuan ringkas ini, beliau memaklumkan keputusan Kerajaan Malaysia meluluskan regionalisation bagi penyakit Highly Pathogenic Avian Influenza (HPAI) di Wilayah Penza, di samping menyerahkan surat rasmi berkaitan perkara tersebut.

Delegasi Malaysia kemudian ke Kazan bagi menghadiri Kazan Forum 2025. Di sana, YB Menteri mengadakan pertemuan dua hala bersama Timbalan Menteri Pertanian Rusia. Pertemuan ini memberi penekanan kepada usaha memperkukuh kerjasama sedia ada serta meneroka potensi baharu dalam sektor pertanian secara lebih strategik, tersusun dan mampan.
Lawatan ini turut disertai oleh YBrs. Dr. Akma Ngah binti Hamid, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS), serta Pegawai – Pegawai Kanan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
The post Lawatan Rasmi YB Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Ke Moscow Dan Kazan, Persekutuan Rusia 13-16 Mei 2025 appeared first on Siakap Keli.




