liza07/09/2026 - 16:17 Gambar hiasan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Sept – LBS Bina Group Bhd memeterai perjanjian sewaan dengan Mydin Mohamed Holdings Bhd bagi membuka pasar raya pertama di kawasan perbandaran KITA @ Cybersouth.
Pasar raya berkenaan akan dibangunkan di atas tapak seluas kira-kira 0.55 hektar (1.37 ekar) dengan keluasan binaan 24,000 kaki persegi, sekali gus menambah pilihan peruncitan harian untuk penduduk di kawasan berkenaan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri (Dr.) Lim Hock San berkata, kemudahan dan perkhidmatan di KITA @ Cybersouth perlu berkembang seiring dengan pertambahan jumlah penduduk di kawasan perbandaran itu.
Menurutnya, kehadiran Mydin sebagai pasar raya pertama di KITA @ Cybersouth merupakan satu lagi langkah ke arah mewujudkan komuniti yang lebih lengkap.
“Penduduk akan mendapat akses lebih mudah kepada barangan keperluan harian tanpa perlu bergantung kepada kemudahan di luar kawasan perbandaran tersebut.
"Mydin merupakan jenama Malaysia yang dipercayai serta mempunyai pemahaman kukuh terhadap pengguna tempatan dan kami berbesar hati mengalu-alukan kehadiran mereka ke KITA @ Cybersouth," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira (Dr.) Ameer Ali Mydin berkata, keputusan membuka pasar raya pertama di KITA @ Cybersouth mencerminkan keyakinan syarikat terhadap potensi pertumbuhan Cybersouth.

Mydin yakin potensi Cybersouth
Katanya, kawasan berkenaan berkembang pesat dan menarik semakin ramai penduduk, khususnya golongan keluarga muda.
Beliau berkata, kerjasama dengan LBS itu penting kepada Mydin memandangkan pengalaman kumpulan berkenaan dalam membangunkan komuniti sedia ada serta kawasan pertumbuhan baharu.
"Kami mahu Mydin menjadi lebih daripada sekadar tempat membeli-belah, sebaliknya menjadi sebahagian daripada komuniti yang sedang berkembang dengan menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan serta pengalaman membeli-belah yang mudah dan selesa," katanya.
KITA @ Cybersouth terus berkembang
KITA @ Cybersouth mempunyai anggaran sekitar 67,000 orang penduduk dengan kira-kira 63% pembelinya berusia 40 tahun dan ke bawah.
Perbandaran seluas 256 hektar (633 ekar) itu mempunyai kira-kira 16,000 unit yang dirancang dengan hampir 40% daripadanya telah siap dibangunkan.
Sebanyak 5% lagi unit sedang dalam pembangunan, manakala baki 55% masih berada pada peringkat perancangan.
Kehadiran pasar raya Mydin itu turut melengkapi pembangunan KITA Avenue Square, yang kini menyaksikan pembinaan deretan kedai bagi menambah pilihan perniagaan dan perkhidmatan kepada penduduk. - DagangNews.com

