Warga Singapura melarikan diri ke Malaysia diculik, diperas

12 Aug 2026 • 9:49 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Warga Singapura melarikan diri ke Malaysia diculik, diperas

Warga Singapura yang masuk Malaysia secara tidak sah diculik dan diperas ugut SGD80,000; polis selamatkan mangsa di pasar raya Nusa Bestari, Johor.

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Singapura yang dikehendaki pihak berkuasa republik itu melarikan diri ke Malaysia menerusi laluan tidak sah sebelum akhirnya diculik dan menjadi mangsa pemerasan sebuah kumpulan sindiket.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata siasatan lanjut mendapati lelaki itu memasuki negara ini melalui Johor sejak Mei lepas, pada mulanya meminta bantuan perlindungan daripada kumpulan sindiket itu sebelum menjadi mangsa, selain turut dicederakan.

Beliau berkata kejadian itu terbongkar selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada Isnin dan memaklumkan anak lelakinya berusia 32 tahun diculik di kawasan Johor Bahru dengan wang tebusan berjumlah SGD80,000 (RM255,000), sebelum siasatan lanjut mendapati mangsa turut diculik bersama teman wanita warga Singapura berusia 33 tahun.

“Wang sebanyak SGD5,000 (RM17,500) telah dibayar secara transaksi dalam talian, selebihnya pula perlu diserahkan di sebuah pasar raya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Kumar berkata susulan itu, pasukan khas JSJ Johor dan Bukit Aman menyerbu sebuah pasar raya di Nusa Bestari dekat Iskandar Puteri pada 6 petang semalam dan berjaya menyelamatkan kedua-dua mangsa, selain menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun semasa urusan pembayaran wang tebusan dilakukan.

Beliau bagaimanapun berkata semasa diselamatkan, hanya mangsa lelaki didapati mengalami kecederaan, iaitu pada kedua-dua bahagian paha dipercayai kesan kelaran senjata tajam.

Menurut Kumar, susulan penahanan itu, sebanyak empat lelaki dan seorang wanita tempatan berumur 32 hingga 46 tahun diberkas menerusi beberapa siri serbuan di sekitar kawasan Skudai di sini.

Hasil semakan mendapati lima suspek yang ditahan memiliki rekod kesalahan jenayah dan dadah manakala hasil ujian saringan air kencing menunjukkan empat suspek positif dadah methamphetamine.

“Turut dirampas dalam serbuan itu ialah serangkai kunci rumah, 10 telefon bimbit, sehelai baju dan seluar, sepasang kasut, wang tunai SGD12,000, wang tunai RM41,400, seutas rantai dan jam Rolex serta sebuah kereta Perodua Axia.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan kesemua suspek berkenaan direman selama 10 hari bermula hari ini mengikut Seksyen 12 akta sama,” katanya.

Beliau berkata mangsa pula direman selama 14 hari mengikut Akta Imigresen 1959/63 mulai hari ini manakala teman wanitanya yang didapati positif methamphetamine direman selama empat hari bermula hari ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved