
KUALA LUMPUR: Kapal tempur pesisir (LSC) akan tetap dilengkapi dengan sistem persenjataan mengikut spesifikasi yang ditetapkan tanpa bergantung kepada keputusan syarikat dari Norway, Kongsberg Defence & Aerospace (KDA).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehubungan itu, jumlah peruntukan baharu adalah diperlukan untuk menggantikan misil yang gagal dibekalkan sebelum ini.
“Maknanya, saya perlu membawa perkara ini kepada kerajaan untuk membincangkan jumlah peruntukan yang diperlukan bagi menggantikan misil yang gagal dibekalkan itu dengan misil baharu.
“Proses ini memerlukan pelbagai pertimbangan antaranya daripada segi jangka masa penghantaran serta sama ada misil baharu itu boleh diintegrasikan dengan sistem pengurusan tempur kapal yang sudah hampir siap,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Perasmian Siber Siaga di di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Norway sebelum ini membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal (NSM) kepada Malaysia dan sistem pelancar berkaitannya yang sebelum ini diperuntukkan untuk kegunaan negara.
Keputusan Norway itu dijangka memberi kesan terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan negara khususnya membabitkan program pemodenan kapal LCS.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 mendapati, projek LCS mengalami kelewatan sebanyak 7.55 peratus berbanding jadual setakat 25 Jun, sekali gus meletakkan penyerahan fizikal LCS 1 dalam risiko.
Hal ini berikutan misil NSM masih belum diselesaikan berikutan pembatalan kekal permit eksport oleh kerajaan Norway.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, kelewatan antara 30 hingga 108 hari itu boleh menjejaskan jadual penyerahan terawal pada 26 Ogos, atau sasaran yang dipinda pada 26 Disember.
Kementerian Pertahanan dalam maklum balas terhadap laporan itu berkata, LCS 1 tidak akan dapat beroperasi pada keupayaan penuh tanpa sistem berkenaan dipasang, walaupun ia boleh mempertimbangkan penyerahan bersyarat sementara kontraktor kekal terikat mengikut kontrak untuk memasang dan mengintegrasikannya. – UTUSAN
The post LCS tetap dilengkapi persenjataan – Mohamed Khaled appeared first on Utusan Malaysia.






