
KUALA LUMPUR – Isu tuntutan Malaysia terhadap syarikat berkaitan pembekalan peluru berpandu anti-kapal (NSM) untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) dijangka mengambil tempoh yang panjang untuk diselesaikan susulan ketiadaan kerjasama daripada kerajaan Norway.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu masih dalam proses dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh segera.
“Masih dalam proses. Kita tak nampak perkara ini boleh diselesaikan dengan segera kerana kita langsung tak dapat kerjasama daripada Kerajaan Norway untuk membantu.
“Langsung tak ada walaupun dia yang menjadi punca kepada masalah ini yang tidak membenarkan lesen eksport,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian Siber Siaga di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC), di sini hari ini.
Menurutnya, Malaysia telah mengemukakan permintaan kepada Norway untuk membantu menyelesaikan perkara itu melalui pelbagai peringkat termasuk Perdana Menteri, Menteri Luar dan dirinya sendiri.
Bagaimanapun, katanya, usaha tersebut tidak mendapat kerjasama daripada kerajaan Norway.
“Mananya kita terdedah hanya untuk buat tuntutan dengan pihak syarikat dan tahulah syarikat apabila menggunakan pelbagai (alasan) dan sebagainya.
“Jadi kita nampak ini akan menjadi satu proses yang panjang untuk kita mendapatkan penyelesaian tuntutan akibat daripada bekalan peluru berpandu itu tak dapat nak dilaksanakan untuk kita dapatkan balik duit kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khaled berkata, kerajaan tidak boleh menunggu sehingga tuntutan tersebut selesai untuk meneruskan usaha melengkapkan LCS.
Katanya, kerajaan perlu mempertimbangkan peruntukan bagi mendapatkan misil baharu, termasuk mengambil kira tempoh penghantaran dan keupayaan sistem berkenaan untuk diintegrasikan dengan sistem pengurusan tempur kapal.
Terdahulu, Norway membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia dan sistem pelancar berkaitannya yang sebelum ini diperuntukkan untuk kegunaan negara.
Keputusan Norway itu dijangka memberi kesan terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan negara khususnya membabitkan program pemodenan kapal LCS.
Hari ini, Jabatan Audit Negara memaklumkan kemajuan projek LCS lewat 7.55 peratus dengan kelewatan antara 30 hingga 108 hari setakat 25 Jun lepas.
Kelewatan itu berisiko menjejaskan penyerahan fizikal (PHO) LCS 1 yang pada asalnya dijadualkan pada 26 Ogos lepas dan kini mempunyai sasaran baharu pada 26 Disember depan.
Katanya, sekiranya PHO dilaksanakan pada kedua-dua tarikh tersebut, LCS 1 akan diserahkan tanpa mencapai keupayaan penuh kerana latihan serta sistem persenjataan masih belum disempurnakan. – KOSMO! ONLINE
The post Tiada penyelesaian segera isu tuntutan peluru berpandu LCS appeared first on Kosmo Online.






