amree27/11/2026 - 11:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Nov — Lahad Datu berpotensi muncul sebagai hab tenaga dan perindustrian baharu di Sabah menerusi cadangan pembangunan LD Energy Gateway bernilai RM4.554 bilion yang merangkumi loji janakuasa gas 300 megawatt (MW), penjana kuasa LNG 160MW dan terminal gas asli cecair (LNG).
Projek infrastruktur tenaga bersepadu itu diterajui Kumpulan LDTEC menerusi Lahad Datu Hi-Tech Sdn Bhd dan Lahad Datu Gas Station Sdn Bhd, dengan matlamat untuk syarikat menyokong usaha pertumbuhan ekonomi serta memenuhi keperluan tenaga sektor perindustrian di negeri berkenaan.
Menurut kenyataan, pembangunan bertemakan 'Powering Borneo’s Energy Frontier' itu dirancang dengan berasaskan konsep 'From Gas Molecule to Megawatt' bagi menghubungkan pembekalan gas, penjanaan elektrik dan penyediaan infrastruktur tenaga dalam satu ekosistem bersepadu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LDTEC, Hanafi Jamal berkata, projek berkenaan bukan sekadar pembangunan infrastruktur penjanaan tenaga, sebaliknya berpotensi menjadi pemangkin kepada kemasukan pelaburan domestik dan antarabangsa, khususnya di Pantai Timur Sabah.
"Infrastruktur yang dirancang turut berpotensi merancakkan pembangunan industri hiliran seperti pembuatan, pertanian, agroindustri, pemprosesan makanan, perikanan dan logistik, selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan," jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujar beliau lagi, pembangunan tersebut juga memberi penekanan utama kepada usaha pemindahan teknologi tenaga, pembangunan modal insan serta penyertaan ramai usahawan dan banyak syarikat tempatan dalam rantaian bekalan projek berkenaan apabila dilaksanakan kelak.

Majlis pelancaran dan pemeteraian perjanjian LD Energy Gateway di Kota Kinabalu pada Khamis turut menyaksikan kerjasama strategik dengan rakan industri antarabangsa termasuk CEEC Guangxi Electric Power (Malaysia) Sdn Bhd, AYS Petroleum Group dan Fearnleys Asia (Singapore) Pte Ltd.
Bagi menyokong perancangan pembangunan, Kumpulan LDTEC turut bekerjasama dengan KASI Group, perunding kejuruteraan Jerman Fichtner GmbH & Co KG serta Auria Capital untuk menggabungkan kepakaran teknikal, kewangan, alam sekitar, maritim dan kejuruteraan.
"Bagaimanapun, projek itu masih berada pada peringkat kajian dan perancangan awal, dengan kajian kebolehlaksanaan secara menyeluruh dijadualkan mengambil masa selama 12 bulan bagi menilai aspek teknikal, kejuruteraan, kewangan dan alam sekitar," tambah Hanafi.
Kajian berkenaan turut merangkumi Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Risiko Trafik Maritim (MTRA) serta kesesuaian lokasi pembangunan sebelum keputusan mengenai lokasi akhir, struktur pembiayaan dan pelaksanaan fizikal dimuktamadkan.
Kumpulan LDTEC menegaskan anggaran RM4.554 bilion itu merupakan nilai awal pembangunan dan bukannya pembiayaan yang sudah diterima atau dimuktamadkan. Pelaksanaan projek masih tertakluk kepada hasil kajian, rundingan dengan agensi kerajaan serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan. - DagangNews.com




