1,755 projek bernilai RM24 bilion diperoleh kontraktor di Johor setakat 31 Oktober 2026 - Exco

LocalBusiness & Finance
20 Nov 2026 • 4:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

1,755 projek bernilai RM24 bilion diperoleh kontraktor di Johor setakat 31 Oktober 2026 - Exco Image from: 1,755 projek bernilai RM24 bilion diperoleh kontraktor di Johor setakat 31 Oktober 2026 - Exco amree20/11/2026 - 16:55 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Nov — Kontraktor tempatan di Johor memperoleh 1,755 projek pembinaan bernilai RM23.87 bilion pada tahun ini setakat 31 Oktober 2026, mencerminkan perkembangan aktiviti pembinaan yang rancak susulan pertumbuhan ekonomi dan pelaburan di negeri itu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, sejumlah 2,631 projek bernilai RM40.65 bilion dicatatkan di negeri itu pada 2025, berdasarkan data Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melalui Johor Centre for Construction Development (JCCD).

 

Tambahnya, peningkatan aktiviti pembinaan itu memberikan petunjuk positif bahawa momentum pelaburan dan pertumbuhan ekonomi Johor turut menjana permintaan terhadap kerja pembinaan serta membuka peluang kepada kontraktor dan pemain industri tempatan.

 

"Bagaimanapun, data CIDB tidak mengasingkan nilai kontrak yang mempunyai kaitan secara langsung dengan pelaburan yang diluluskan, sekali gus menyukarkan penentuan jumlah hasil yang diperoleh kontraktor tempatan daripada pelaburan berkenaan," katanya.

 

Ting Han berkata demikian ketika menjawab soalan Aznan Tamin (BN-Tanjung Surat) mengenai jumlah peluang dan nilai hasil kerja yang diterima syarikat tempatan daripada pelaburan RM110 bilion pada 2025, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, pada Jumaat.

 

Menurut data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Johor merekodkan pelaburan diluluskan RM110 bilion pada 2025, iaitu nilai tertinggi dalam sejarah negeri itu. Ekonomi Johor turut berkembang 8%, tertinggi di Malaysia bagi tahun kedua berturut-turut, manakala sektor pembinaan melonjak 26.7%.

 

DUN Johor_Bernama
Gambar BERNAMA

 

Bagi memastikan syarikat tempatan mendapat manfaat lebih besar daripada peluang pelaburan, kerajaan negeri sedang menjalankan Kajian Pembangunan Model Penyertaan Pemain Industri Tempatan dalam Rantaian Bekalan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

"Kajian bersama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPEN), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kementerian Ekonomi itu mengenal pasti 5,245 syarikat tempatan berpotensi di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur, termasuk 2,342 syarikat di Johor," kata Ting Han.

 

Ujarnya, dapatan interim turut menunjukkan 72% syarikat multinasional (MNC) yang menjadi responden bersedia menggunakan pembekal tempatan bagi kategori Tier 1, manakala 68% bersedia berbuat demikian bagi kategori Tier 2 dan Tier 3.

 

Syarikat-syarikat tempatan namun masih berdepan beberapa kekangan untuk menyertai rantaian bekalan MNC, termasuk akses kepada maklumat tender, pensijilan, teknologi, pembiayaan, kapasiti pengeluaran dan kekurangan tenaga kerja mahir.

 

Sehubungan itu, JCCD menganjurkan Konvensyen Kontraktor 3.0 dan International Facility Management Engagement Day yang melibatkan 300 kontraktor daripada gred G1 hingga G7. Kerajaan negeri turut meneliti pemanfaatan Kerangka Insentif Baharu (NIF) yang diperkenalkan pada 1 Mac 2026.

 

Antara cadangan strategik yang sedang dikaji ialah pembangunan pangkalan data dan platform pemadanan vendor, peningkatan kapasiti syarikat tempatan, peluasan akses kepada perolehan MNC, penelitian dasar kandungan tempatan serta insentif berperingkat dan pemantauan impak pelaburan. 

 

"Kajian ini masih di peringkat interim dan nilai sebenar kontrak serta pendapatan syarikat tempatan daripada pelaburan RM110 bilion itu belum dapat ditentukan secara menyeluruh," jelasnya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved