hamden20/11/2026 - 10:21 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov - BM Greentech berpotensi meneroka pasaran bernilai antara RM1 bilion hingga RM2 bilion menerusi peluang kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) di bawah program Tarif Galakan (FiT) 2.0 berkapasiti 130 megawatt (MW), sekali gus mengukuhkan prospek pertumbuhan perniagaan bio-tenaganya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
RHB Research menjangkakan program yang diperkenalkan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) itu menjadi pemangkin pertumbuhan pendapatan Greentech, khususnya dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, mengambil kira tempoh pembinaan projek sehingga 30 bulan.
Peluang itu dilihat signifikan memandangkan BMGREEN dianggarkan menguasai antara 60% hingga 70% bahagian pasaran dalam kalangan pemain domestik EPCC dandang, sekali gus meletakkannya pada kedudukan baik untuk memperoleh manfaat daripada pelaksanaan program berkenaan.
Menurut firma penyelidikan itu, perniagaan bio-tenaga BM Greentech kekal sebagai pemangkin pertumbuhan untuk beberapa tahun akan datang, disokong potensi peluang projek baharu di bawah program FiT 2.0.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan BELI terhadap saham BM Greentech dengan harga sasaran RM2.05, yang menawarkan potensi kenaikan sebanyak 55%, selain hasil dividen kira-kira 2% bagi tahun kewangan 2028 berakhir Mac.
Prestasi separuh kedua dijangka lebih kukuh
Sementara itu, keputusan BM Greentech bagi separuh pertama tahun kewangan 2027 (1HFY27) secara keseluruhannya menepati jangkaan firma penyelidikan berkenaan.
Keuntungan bersih teras kumpulan meningkat 2% tahun ke tahun kepada RM24.4 juta, bersamaan 41% daripada unjuran keuntungan setahun penuh firma penyelidikan itu dan 42% daripada konsensus pasaran.
Firma penyelidikan itu menjangkakan prestasi lebih kukuh pada separuh kedua FY27 berbanding separuh pertama, didorong sumbangan lebih baik daripada bahagian biojisim.
Bagi suku kedua tahun kewangan 2027 (2QFY27), hasil Greentech meningkat 34.6% tahun ke tahun dan 7.9% suku ke suku kepada RM177 juta.
Ini meningkatkan jumlah hasil bagi 1HFY27 kepada RM340.9 juta, berkembang 31.6% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Penilaian saham kekal menarik
Dari segi penilaian, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan BM Greentech tanpa sebarang perubahan berikutan keputusan 1HFY27 yang menepati jangkaan.
Harga sasaran RM2.05 dikekalkan berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sasaran CY27F sebanyak 20 kali. - DagangNews.com





