Leapmotor Memulakan Pemasangan EV CKD Di Kilang Stellantis, Gurun, Kedah

LocalCars
4 Jun 2026 • 4:36 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Leapmotor Memulakan Pemasangan EV CKD Di Kilang Stellantis, Gurun, Kedah

Leapmotor merupakan salah satu jenama kereta elektrik yang telah bertapak di Malaysia sejak tahun 2024 menerusi model pertamanya Leapmotor C10. Menyahut seruan kerajaan, kini mereka telah memulakan pemasangan CKD untuk model Leapmotor C10 di kilang Stellantis, Gurun, Kedah. 

Image from: Leapmotor Memulakan Pemasangan EV CKD Di Kilang Stellantis, Gurun, Kedah

Kilang Stellantis di Gurun, Kedah juga merupakan kilang pemasangan kereta-kereta Stellantis yang terdahulu, iaitu Peugeot, dan turut menghasilkan kereta dan bahagian kereta untuk pasaran serantau. Kilang ini berupaya menghasilkan 60,000 unit kenderaan setahun. Stellantis telah membelanjakan sekitar RM 25 Juta bagi menyesuaikan kilang ini bagi menghasilkan kereta elektrik Leapmotor untuk pasaran Malaysia dan juga pasaran serantau ini.

Image from: Leapmotor Memulakan Pemasangan EV CKD Di Kilang Stellantis, Gurun, Kedah

Leapmotor C10 telah mula dipasang secara CKD sejak April 2026 manakala Leapmotor B10 akan dipasang secara CKD dalam masa 2-3 bulan akan datang. Sehingga April 2026, Leapmotor C10 dijual pada harga RM 148,000 manakala Leapmotor B10 dijual pada harga bermula RM 99,800. Kedua-dua model ini ditawarkan dengan rebat sewaktu pelancarannya.

Image from: Leapmotor Memulakan Pemasangan EV CKD Di Kilang Stellantis, Gurun, Kedah

Bersama-sama dengan pengumuman ini adalah termeterainya perjanjian persefahaman antara Stellantis dan Cycle & Carriage sebagai pengedar Leapmotor di Malaysia. Cycle & Carriage merupakan pengedar kereta premium terkenal, dan kini akan menawarkan jenama Leapmotor sebagai penambahan penawaran kereta elektrik mereka. Sehingga kini terdapat tiga cawangan Cycle & Carriage yang menawarkan Leapmotor, iaitu di Pavilion Bukit Jalil, Georgetown Penang dan Paradigm Mall Johor Bahru serta Pusat Khidmat 3S di Glenmarie. Ini menjumlahkan pusat jualan Leapmotor sebanyak 12 dan 6 pusat khidmat di seluruh Malaysia. 

Dengan pengumuman ini kita mungkin boleh melihat komitmen Stellantis dalam menawarkan Leapmotor sebagai penawaran kereta elektrik mereka untuk pasaran tempatan, disokong oleh rangkaian pengedar berpengalaman iaitu Cycle & Carriage yang telah bertapak sejak 1899 di Kuala Lumpur.