
SHAH ALAM, 17 NOV: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi kepala air di Sungai Luit, Kampung Orang Asli Pertak, Hulu Selangor ditamatkan hari ini selepas mayat mangsa kelapan yang juga mangsa terakhir ditemukan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Wan Md Razali Wan Ismail berkata, mayat mangsa ditemukan pasukan SAR dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu ketika pencarian tertumpu di Sektor C.
“Mayat mangsa ditemukan pada jarak kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi awal dia dilaporkan terjatuh dan dihanyutkan arus deras.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota kesihatan pada jam 10.30 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Md Razali, penemuan mangsa terakhir itu menandakan berakhirnya keseluruhan operasi pengesanan mangsa di lapangan, sekali gus SAR ditutup sepenuhnya.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang pada 9 November lalu, lapan lelaki terdiri daripada seorang rakyat Malaysia dan tujuh warga asing dihanyutkan arus deras akibat fenomena kepala air di Sungai Luit.
Lima mangsa ditemukan pada Selasa lalu, manakala mayat keenam iaitu lelaki warga Yaman ditemukan berhampiran Empangan Sungai Selangor pada 10.15 pagi, 12 November lalu.
Operasi pencarian diteruskan sehingga penemuan mayat seorang lelaki warga India pada keesokan harinya, sebelum mangsa terakhir ditemukan hari ini.
Ketika kejadian, seramai 34 individu daripada empat kumpulan berada di kawasan berkenaan dengan lapan lelaki dihanyutkan arus, manakala 26 individu berjaya menyelamatkan diri dan diselamatkan anggota bomba.





