
HULU SELANGOR - Usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir tragedi kepala air di Sungai Luit, berhampiran kawasan perkelahan Sungai Pertak, berakhir hari ini selepas mayat mangsa kelapan ditemukan pada hari kesembilan operasi.
Mayat mangsa ditemukan di Sektor C kira-kira jam 10.30 pagi, pada jarak sekitar 2.7 kilometer dari lokasi kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Wan Md Razali Wan Ismail berkata, penemuan tersebut turut disahkan petugas perubatan yang berada di lokasi penemuan.
Menurutnya, penemuan itu membolehkan operasi SAR ditamatkan secara rasmi.
“Operasi SAR hari kesembilan membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dengan pencarian tertumpu di Sektor C.
“Operasi ditamatkan secara rasmi selepas mangsa terakhir berjaya ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa terakhir itu merupakan seorang lelaki warga India yang identitinya masih belum dikenal pasti.
Sebelum ini, mayat mangsa ketujuh ditemukan pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian Isnin minggu lalu, seramai lapan lelaki dihanyutkan arus deras, dengan tujuh daripada mereka dipercayai terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Jebus, manakala seorang lagi dihanyutkan dari kawasan berhampiran tapak perkelahan Sungai Pertak.
Mangsa pertama, seorang lelaki tempatan, ditemukan kira-kira jam 1.30 pagi Selasa berhampiran Jambatan Pertak, pada jarak sekitar 2.7 kilometer dari lokasi kejadian di Lata Jebus. - Getaran, 17 November 2026





