Lebih 1.1 juta PMKS terima manfaat ambang e-Invois dinaikkan kepada RM3 juta - LHDN

LocalBusiness & Finance
1 Sep 2026 • 9:21 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lebih 1.1 juta PMKS terima manfaat ambang e-Invois dinaikkan kepada RM3 juta - LHDN Image from: Lebih 1.1 juta PMKS terima manfaat ambang e-Invois dinaikkan kepada RM3 juta - LHDN hamden01/09/2026 - 09:21 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 1 Sept - Lebih 1.1 juta perniagaan bakal mendapat manfaat daripada keputusan kerajaan menaikkan ambang pelaksanaan e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta, berkuat kuasa 1 September 2026.

 

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) berkata, menerusi peningkatan ambang itu, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan pendapatan atau jualan tahunan kurang daripada RM3 juta tidak lagi diwajibkan melaksanakan e-Invois.

 

“Pengumuman ini akan memberi manfaat kepada lebih 1.1 juta perniagaan yang layak menerima pengecualian tersebut,” katanya dalam kenyataan.

 

Keputusan itu susulan pengumuman Perdana Menteri pada 30 Ogos menerusi Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026, yang menyaksikan kerajaan bersetuju meningkatkan ambang pelaksanaan e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta.

 

Menurut LHDN, inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan untuk mengurangkan beban dan kos pematuhan yang ditanggung PMKS, sekali gus membolehkan sektor perniagaan terus memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan serta mengembangkan operasi.

 

Penyertaan sukarela Amat Digalakkan

Bagaimanapun, kerajaan amat menggalakkan PMKS untuk menyertai pelaksanaan e-Invois secara sukarela, selaras dengan aspirasi negara untuk mempercepat pendigitalan perniagaan.

 

Dalam pada itu, LHDN berkata sejak e-Invois dilaksanakan pada 1 Ogos 2024, sebanyak 265,379 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois, melibatkan lebih 1.84 bilion e-Invois.

 

“Pencapaian ini menunjukkan tahap penerimaan yang baik dalam kalangan pembayar cukai, termasuk PMKS, terhadap e-Invois sebagai langkah transformasi untuk mendigitalkan operasi perniagaan serta memastikan transaksi direkodkan dan disimpan dengan sewajarnya,” katanya.

 

LHDN berkata pihaknya komited memastikan pelaksanaan e-Invois berjalan lancar menerusi pendekatan proaktif termasuk aktiviti pendidikan, program bimbingan dan sesi libat urus secara berterusan.

 

Usaha itu turut merangkumi penyediaan panduan serta tutorial penggunaan Portal MyInvois, aplikasi MyInvois dan MyInvois e-POS bagi meningkatkan kesedaran serta pemahaman PMKS mengenai pelaksanaan e-Invois.

 

Pembayar cukai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi HASiL menerusi saluran khusus e-Invois, termasuk MyInvois Live Chat dan Help Desk di talian 03-8682 8000 yang beroperasi 24 jam sehari.

 

Mereka juga boleh mengemukakan pertanyaan umum berkaitan e-Invois menerusi e-mel myinvois@hasil.gov.my- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved