Lebih 12,000 balik negeri naik kapal Tentera Laut Myanmar

LocalPolitics
17 Nov 2026 • 11:29 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lebih 12,000 balik negeri naik kapal Tentera Laut Myanmar

KUALA LUMPUR – Sebanyak 12,176 warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal sepanjang tahun ini setakat 31 Oktober lepas, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

KDN memaklumkan rekod penghantaran pulang itu adalah berdasarkan kewarganegaraan yang disahkan oleh negara asal dan bukannya merujuk secara khusus pada etnik Rohingya.

“Daripada jumlah berkenaan, seramai 1,476 tahanan warga Myanmar dihantar pulang pada 29 September lepas menerusi operasi penghantaran pulang secara berskala besar menggunakan kapal Tentera Laut Myanmar,” menurut KDN dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Kementerian itu menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai jumlah etnik Rohingya yang berada di Malaysia, bilangan yang dihantar pulang ke Myanmar pada tahun ini serta pihak bertanggungjawab terhadap keselamatan mereka sekiranya kembali ke negara asal.

KDN memaklumkan berdasarkan rekod Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), sebanyak 133,400 etnik Rohingya didaftarkan sebagai pelarian dan pemohon suaka di Malaysia setakat 30 September lepas.

Sementara itu, berdasarkan rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), 6,294 etnik Rohingya direkodkan berada dalam tahanan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) seluruh negara setakat 31 Okt, daripada keseluruhan 11,208 tahanan warga Myanmar.

Menurut KDN, proses penghantaran pulang warga asing, khususnya mereka yang tidak memiliki dokumen perjalanan atau pengenalan diri sah, memerlukan kerjasama negara asal bagi tujuan pengenalpastian, pengesahan kewarganegaraan dan pengeluaran dokumen perjalanan.

Sehubungan itu, KDN terus bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam rundingan serta penyelarasan dengan kerajaan Myanmar bagi mempercepat proses pengesahan kewarganegaraan, penyediaan dokumen perjalanan dan penerimaan semula rakyat negara itu.

Mengenai kemasukan etnik Rohingya ke Malaysia, KDN memaklumkan antara modus operandi dikenal pasti ialah kemasukan secara tidak sah melalui laluan darat dan laut yang tidak diwartakan sebagai pintu masuk rasmi negara.

“Pergerakan itu melibatkan rangkaian sindiket penyeludupan migran peringkat serantau yang mengatur perjalanan merentas sempadan dari Myanmar atau Bangladesh, termasuk menerusi negara transit sebelum memasuki Malaysia.

“Laluan dan kaedah kemasukan seseorang individu hanya dapat dipastikan melalui siasatan serta semakan rekod pihak berkuasa,” menurut KDN.-Bernama

The post Lebih 12,000 balik negeri naik kapal Tentera Laut Myanmar appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved