
PETALING JAYA – Perantau Melaka yang berpusu-pusu pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok terpaksa ‘makan asap’ apabila beberapa laluan lebuh raya menuju ke selatan negara sesak malam ini.
Keadaan itu turut mengingatkan pengguna jalan raya kepada suasana kesesakan luar biasa ketika musim perayaan, khususnya di Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke selatan.
Menerusi perkongsian pengguna Threads @wallawaniey, kesesakan dilaporkan sudah bermula dari Sungai Besi menuju ke selatan sehingga mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial.
“Macam suasana balik raya, Lebuh Raya Utara-Selatan menuju ke selatan dah jem dari Sungai Besi. Penangan Pilihan Raya Negeri Melaka esok ke ni,” tulisnya.
Sementara itu, berdasarkan kemas kini Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada pukul 7.44 malam tadi, trafik dilaporkan bergerak perlahan di beberapa laluan utama seluruh negara.
Antara lokasi terjejas di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan ialah Plaza Tol Sungai Besi ke Bangi, Nilai ke Bandar Ainsdale, Sedenak ke Kulai serta Dato’ Onn ke Pasir Gudang.
Selain itu, trafik turut perlahan di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan dari Shah Alam ke Setia Alam.
Beberapa laluan lain turut mengalami kesesakan termasuk Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuh Raya Cheras-Kajang (GrandSaga).
Dalam pada itu, LLM turut memaklumkan beberapa laluan mengalami kesesakan susulan insiden kenderaan rosak dan kemalangan, termasuk di Kilometer 16.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Skudai-Senai serta Kilometer 259.3 arah utara dari Pedas Linggi ke Port Dickson.
LLM menasihatkan pengguna lebuh raya supaya berhati-hati dan memastikan lampu kecemasan dinyalakan serta meletakkan segitiga keselamatan pada jarak sesuai sekiranya terpaksa berhenti di lorong kecemasan. – KOSMO! ONLINE
The post Perantau Melaka ‘makan asap’ nak balik mengundi appeared first on Kosmo Online.






