.jpg)
Kota Kinabalu: Seramai 750 pendatang asing tanpa izin (PTI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi program pemindahan tahanan menggunakan kapal MV Antonia 1 melalui Pelabuhan Sandakan, pada Khamis.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pemindahan itu membabitkan tahanan berusia antara tiga hari hingga 71 tahun, termasuk 476 dewasa dan 197 kanak-kanak yang diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.
Daripada jumlah itu, seramai 378 ialah lelaki dewasa, 175 perempuan dewasa, 98 kanak-kanak lelaki dan 99 kanak-kanak perempuan.
Pemindahan berkenaan membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Sandakan dan Depot Imigresen Papar sebelum dibawa ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, menggunakan kapal MV Antonia 1.
Dalam perkembangan berkaitan, Depot Imigresen Papar turut melaksanakan pemindahan seorang lelaki dewasa warga Singapura menerusi penerbangan Scoot Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Changi, Singapura.
Beliau berkata, setakat ini seramai 9,224 tahanan PTI pelbagai warganegara sudah dipindahkan ke negara asal masing-masing.
Daripada jumlah itu, seramai 6,915 ialah warga Filipina, Indonesia (1,959), Pakistan (143), China (142), Vietnam (29) dan negara lain termasuk Singapura (36).
Semua tahanan berkenaan sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan yang sah bagi membolehkan proses penghantaran pulang dilaksanakan.
Sehubungan itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berharap kerjasama Kedutaan Filipina dapat dipertingkatkan, khususnya dalam mempercepatkan pengeluaran dokumen perjalanan bagi memastikan pengurusan tahanan berjalan lancar, selain mengurangkan kesesakan di depot imigresen di seluruh negeri.
JIM Sabah turut menggesa majikan menyertai program pendataan digital warga asing yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi merekodkan keberadaan pekerja asing, khususnya dalam sektor perladangan.
Jabatan itu juga menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap majikan yang melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa permit dan dokumen yang sah.
Majikan yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, penjara dan sebatan bagi kesalahan berkaitan.






