Lebih 20 tahun guna karya A. Samad Said dalam pendidikan

27 Nov 2026 • 7:17 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lebih 20 tahun guna karya A. Samad Said dalam pendidikan

PETALING JAYA: Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri A. Samad Said menyumbang kepada pendidikan negara menerusi penulisannya termasuk novel ‘Di Hadapan Pulau’ serta cerpen ‘Menatap Wajahnya’ dan ‘Di Sisi Rinda’.

Kesemua karya-karya tersebut merupakan antara sebahagian daripada silibus dalam bacaan Komponen Sastera (Komsas) bagi subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di sekolah menengah lebih 20 tahun lalu.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, komponen tersebut menjadi sebahagian daripada kedua-dua subjek itu yang turut dimasukkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, karya sastera seperti ‘Salina’ dan ‘Langit Petang’ hasil penulisan A. Samad Said bukan sekadar memperlihatkan keindahan bahasa, malah mengangkat persoalan kehidupan manusia serta membantu pembaca memahami realiti masyarakat.

Menurutnya, penghayatan karya sastera dapat membantu murid memperluas kosa kata, membina imaginasi, menyusun pandangan dan mengembangkan pemikiran kritis.

“Pembelajaran bahasa bukan sekadar menguasai tatabahasa, membina ayat atau menghasilkan karangan, tetapi turut mendidik murid berfikir, membuat penilaian dan memahami kehidupan.

“Kita tidak mahu melahirkan generasi yang hanya cekap menjawab soalan peperiksaan tetapi kurang berani mengemukakan idea, menghasilkan sesuatu yang baharu dan memberikan pandangan secara kritis,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, Fouzi berkata idea penulisan A. Samad Said bukan hanya tercetus daripada pembacaan buku, malah boleh diperoleh melalui pemerhatian beliau terhadap kehidupan seharian, perbualan, pengalaman dan peristiwa di sekeliling.

“Amalan allahyarham yang sentiasa membawa buku catatan dan pen merupakan teladan bermakna kepada generasi muda bahawa seseorang penulis perlu sentiasa bersedia merakamkan pengalaman dan pemerhatian,” ujarnya. – UTUSAN

The post Lebih 20 tahun guna karya A. Samad Said dalam pendidikan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved