Di sebalik karya yang mengangkat nama A. Samad Said sebagai Sasterawan Negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenang Allahyarham sebagai sahabat yang sentiasa memastikan karyanya sampai kepada beliau sepanjang berada di Penjara Sungai Buloh.

Memetik laporan MalaysiaGazette, Anwar berkata, persahabatan itu memperlihatkan sisi Pak Samad sebagai seorang yang setia, selain kegigihannya dalam dunia seni dan sastera. Beliau menyifatkan pemergian pengarang itu sebagai kehilangan besar buat negara.
“Kenal dia sahabat setia, saya ingat sepanjang saya di Sungai Buloh (penjara) itu semua karya-karya dia pastikan dikirim kepada saya dan dia seorang yang gigih, pencinta seni dan sastera dan juga pendidik bangsa,” katanya kepada media di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, malam tadi.
Anwar turut mengimbas disiplin Pak Samad ketika membaca. Katanya, beliau sendiri pernah melihat catatan yang dibuat oleh sasterawan itu pada buku-buku bacaannya di rumah. Bagi Anwar, ketekunan itu mencerminkan kesungguhan Pak Samad mendalami karya sastera dari pelbagai pelosok dunia.

“Kehidupan bangsa dan pembinaan tamadun itu harus bersandarkan juga kepada kekuatan sastera. Kalau dari segi pembacaan saya belum jumpa seorang yang begitu gigih membaca seperti mana Sasterawan Negara, A. Samad Said,” kongsinya.
Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan takziah kepada isteri dan keluarga Allahyarham. Beliau tiba di masjid kira-kira pukul 10.50 malam bersama Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, untuk memberi penghormatan terakhir dan membaca surah Yasin bersama keluarga serta kenalan Allahyarham.
Pak Samad menghembuskan nafas terakhir pada usia 94 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 6.05 petang semalam. Jenazahnya dibawa dari Jabatan Forensik HKL ke masjid kira-kira pukul 10.12 malam.
Sumber: MalaysiaGazette (Nurayuni Johari)





